,
Artikel PilihanBuletin

SELAMAT JALAN YOSHIHIKO MATSUO – PEREKA DATSUN 240Z DAN NISSAN FAIRLADY Z

Ramai yang mungkin tidak mengenali nama beliau tetapi Yoshihiko Matsuo ialah orang yang bertanggungjawab mengetuai rekaan kereta sports paling berpengaruh sepanjang zaman S30 Fairlady Z yang lebih dikenali dengan nama Datsun 240Z.

Ia bukan hanya berjaya membuat revolusi dalam rekaan kereta sports tetapi juga membolehkan ia dipasarkan kepada lebih ramai orang. Matsuo telah meninggal dunia pada 11 Julai dan mengikut tradisi Jepun, keluarga beliau hanya mengumumkannya beberapa hari selepas itu.

Matsuo dilahirkan di Himeji City pada 10 Julai 1934 dan mula menghasilkan lakaran kereta pada zaman kanak-kanak di mana jumlah kereta ketika itu boleh dikira dengan jari. Semasa di sekolah tinggi beliau memperkenalkan konsep trak kecil dengan 3-roda ketika bekerja secara sambilan di Osaka Textile Industri Co., sebuah anak syarikat Daihatsu.

Sewaktu masih menuntut di Nihon University College of Art, beliau menggunakan pengalaman untuk membantu mereka Daihatsu Midget, model paling laris pertama Daihatsu.

Sebaik menamatkan pengajian, Matsuo telah memulakan pekerjaan di Nissan dan ditugaskan untuk membuat rekaan Datsun Baby. Beliau kemudian dipindahkan ke pasukan Bluebird 410 untuk membantu kerana jualan 410 ketika itu tidak memuaskan.

Minatnya terhadap kereta berprestasi tinggi meyakinkan ketua beliau ketika itu untuk meluluskan pengeluaran Bluebird 411 SSS, kereta sedan sport pertama Nissan. Kehebatan SSS membuatkan Nissan melantik Matsuo mengetuai jabatan rekabentuk sehinggalah lahirnya kereta Z Nissan.

Matsuo mereka model Z Nissan dengan bentuknya yang ikonik, lampu yang unik dan tempat duduk yang menyerupai tempat duduk stadium baseball. Malah Matsuo memberikan beberapa idea beliau tersendiri dalam penghasilan model dan turut memandu ujinya sendiri.

Matsuo tahu kereta tersebut akan menjadi popular tetapi tidak menyangka ia akan menempa populariti di seluruh dunia. Dunia automotif tidak pernah menyaksikan sebuah kereta yang mempunyai kombinasi gaya dan prestasi seperti model Z Nissan. Malah ia mampu dimiliki ramai berbeza dari model-model eksotik Itali.

Selepas 50 tahun, gambar-gambar teaser model Z baharu mula tersebar dan bentuknya sudah kembali kepada rekaan asal Matsuo. Sayangnya Matsuo telah menghembuskan nafas terakhir sehari selepas harijadinya yang ke-86 baru-baru ini tanpa sempat melihat model itu dilancarkan. Selamat jalan Matsuo-san dan terima kasih kerana rekaan dan sumbangan anda.

Kredit foto Dan Hsu dan Japanesenostalgiccar.com

Tags
Google ads
Back to top button