Buletin

KIA EV2 GT 2026 – DARI 0 KE 100 KM/J DALAM 5 SAAT, JARAK 435KM SEKALI CAJ!

Strategi elektrifikasi Kia kini berada pada tahap pecutan maksimum, menawarkan pelbagai model yang mampu menyaingi jenama besar lain.

Terbaharu, jenama Korea ini bakal memperkenalkan model elektrik paling kecil mereka iaitu Kia EV2, sebuah crossover kompak yang dikhususkan untuk pemanduan bandar dan kecekapan tenaga.

EV2 dijangka menjadi pintu masuk kepada rangkaian EV Kia, malah berpotensi hadir dalam versi prestasi tinggi GT.

Walaupun bersaiz kecil, varian GT ini dijangka menjadi seakan ‘hot hatch’ elektrik, memadukan reka bentuk kompak mesra bandar dengan elemen gaya SUV yang lasak.

Reka bentuknya yang diambil daripada versi konsep masih dikekalkan, termasuk lampu utama berkembar menegak, DRL berbentuk cangkuk melintasi fender, serta bampar hadapan dengan inspirasi daripada Kia EV9, lengkap dengan kemasan warna kontras dan rekaan geometri moden.

Bagi varian GT, elemen agresif semakin menonjol dengan angkup brek neon hijau, lengkung roda bersegi, cladding bawah yang tebal dan bentuk badan tegak. Bahagian belakangnya menampilkan pintu tailgate gaya clamshell lebar bersama lampu belakang LED bersegi yang bersambung pada panel sisi.

Ruang dalaman masih menjadi rahsia, namun versi konsep memberi gambaran awal, termasuk kemas kini perisian melalui OTA, sambungan telefon pintar, pengecasan tanpa wayar, dan pelbagai ciri keselamatan ADAS.

Untuk GT, ciri tambahan dijangka termasuk kerusi bucket sport, jahitan hijau neon dan pilihan warna eksklusif.

Dibina berasaskan platform E-GMP 400 volt milik Hyundai Group, EV2 menawarkan pengecasan pantas, fungsi Vehicle-to-Load (V2L), bateri di bawah lantai untuk ruang kabin maksimum, suspensi belakang multi-link dan talaan pengendalian sporty.

Kuasa untuk varian standard dijangka datang daripada motor elektrik tunggal pacuan roda hadapan berkuasa 150–200hp, membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam sekitar 7 saat lebih.

Versi GT pula berkemungkinan menggunakan sistem pacuan semua roda dwi-motor dengan 250–300hp, mampu memecut ke 100 km/j dalam lingkungan 5 saat.

Menurut laporan, ia mungkin menggunakan bateri 55kWh seperti Kia EV3, memberi jarak gerak sekitar 435km.

Antara pesaing terdekat termasuk Alpine A290, Renault 5, Volkswagen ID.2 GTI, Mini Cooper JCW, Fiat 500e Abarth serta Hyundai Inster N (yang masih khabar angin).

Kia mengesahkan pelancaran global EV2 akan berlangsung pada awal 2026, dengan versi GT menyusul tidak lama kemudian.

Bagi pasaran Eropah, ia akan dihasilkan di Slovakia selaras dengan fokus pasaran benua tersebut.

Google ads
Back to top button