Buletin

SETIA GEMILANG AUTO 4S JADI RAKAN KONGSI BARANGAN PREMIUM R3 PERTAMA DI NEGARA

PROTON menjaliin kerjasama bersama Setia Gemilang Auto 4S Sdn. Bhd. dalam menawarkan produk premium R3 kepada para peminat automotif negara ini.

Setia Gemilang Auto 4S merupakan rakan kongsi barangan premium R3 pertama di negara ini.

Jenama PROTON R3 kini diletakkan di bawah naungan anak syarikat milik penuh Proton Edar iaitu Proton Global Services (PGS).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah berkata pengenalan produk premium R3 adalah untuk memperkasa jenama R3 kepada khalayak terutama peminat-peminat jenama terbabit.

Beliau berkata ia merupakan langkah pertama dalam penjenamaan semula R3 yang cukup sinonim dalam sukan pemotoran dunia.

Roslan berucap demikian ketika merasmikan pelancaran kerjasama Rakan Kongsi Barangan Premium R3 bersama Setia Gemilang Auto 4S Sdn. Bhd. di Shah Alam, Selangor.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Global Services,  Lee Yeet, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Setia Gemilang Sdn. Bhd., Datuk Andrew Quek dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah.

Dalam majlis sama, PROTON turut memperkenalkan rangkaian minyak tulen premium R3 yang dibangunkan bersama Petronas dikenali sebagai P1 dan P2.

Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Global Services,  Lee Yeet Chuan berkata pihaknya menerima banyak permintaan daripada peminat-peminat R3 untuk mendapatkan barangan jenama berkenaan.

“Justeru, pelancaran ini merupakan langkah pertama dalam memenuhi permintaan mereka.

“Kami akan melancarkan lebih banyak produk termasuk aksesori untuk pemilik kereta Proton pada masa hadapan, dan berharap akan membantu kami membina semula hubungan dengan peminat R3,” ujarnya.

Beliau berkata pengenalan produk barangan premium berkenaan juga dapat membantu dalam penjualan wakil-wakil pengedar malah mampu menjadi ‘pusat’ buat penggemar jenama R3.

Antara produk barangan premium yang boleh didapati termasuk rangkaian baju kemeja-t dan topi ditawarkan pada harga bermula antara RM49 hingga RM60.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook rasmi Proton Cars dan Proton Motorsports.

Google ads
Back to top button