Buletin

PROTON R3 LANCAR MINYAK ENJIN. BERMULA RM158 SEBOTOL

PROTON R3 hari ini melancarkan rangkaian pelincir dan barangan baharu dalam usahanya untuk membina semula hubungan dengan peminat, seterusnya meningkatkan reputasi jenamanya.

R3 kini diletakkan di bawah naungan Proton Global Services (PGS), anak syarikat milik penuh Proton Edar. Majlis pelancaran ini menandakan hala tuju baru bagi R3 untuk membawa warisan dan produknya kepada orang ramai.

Rangkaian Minyak Tulen Premium R3 dibangunkan bersama Petronas dan boleh didapati dalam formulasi sintetik sepenuhnya dan separa sintetik. Kedua-dua minyak tulen P1 dan P2 dirumus menggunakan minyak asas Etro 6+ terbaru Petronas.

Ia  direka untuk melawan haba yang berlebihan, selain memastikan prestasi lebih baik bagi enjin turbo pancitan bahan api langsung yang semakin popular.

Dengan penarafan SP dan SN Plus, minyak enjin tersebut turut memenuhi tahap pensijilan tertinggi oleh Institut Petroleum Amerika (API).

“Pelancaran rangkaian minyak tulen premium R3 baharu dan produk barangan merupakan langkah pertama dalam perjalanan penjenamaan semula R3. Ia akan dijual kepada orang ramai melalui Rakan Kongsi Barangan Premium kami di 20 lokasi di seluruh Malaysia.

“Kami akan melancarkan lebih banyak produk termasuk aksesori untuk pemilik kereta Proton pada masa hadapan. Usaha ini diharap dapat membantu kami membina semula hubungan dengan peminat R3,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Global Services, Lee Yeet Chuan.

Minyak tulen premium R3 ditawarkan pada harga RM208 (sintetik sepenuhnya P1) dan RM158 untuk separuh sintetik P2. Bagaimanapun, ia akan ditawarkan pada harga pengenalan RM178 dan RM128 sehingga 30 April depan.

Rangkaian baju kemeja-t dan topi baharu pula berharga bermula RM49 hingga RM60. Maklumat lanjut, sila layari halaman Facebook rasmi Proton Cars dan Proton Motorsports.

Google ads
Back to top button