Buletin

MITSUBISHI DELICA D:5 TOUGH X TOUGH, SIAP DENGAN AKSESORI RALLIART

Van adalah satu segmen yang sentiasa mempunyai peminat walaupun dihimpit pesaing seperti SUV dan MPV. Di antara model yang usianya puluhan tahun dan dikeluarkan hingga sekarang ialah Mitsubishi Delica.

Delica generasi pertama dikeluarkan pada tahun 1968 dan generasi kelima Delica D:5 yang berada di pasaran sekarang dilancarkan di Jepun pada tahun 2007.

Selain Jepun, Delica D:5 turut dijual di Indonesia dari tahun 2014 hingga 2019. Dengan usia yang panjang, Mitsubishi memperkenalkan Delica D:5 facelift pada tahun 2019.

Model itu membawakan wajah Dynamic Shield yang menampakkannya seperti sebuah model baharu. Xpander baharu diberi gaya sama dan jika diletak sebelah kelihatan seperti adik beradik kembar.

Di Jepun Delica D:5 mempunyai banyak varian dan dibahagikan kepada dua pilihan utama iaitu Delica D:5 dan Delica D:5 Urban Gear.

Perbezaan utama ialah pada penampilan di mana Delica D:5 Urban Gear membawakan gayaan sleek dengan kit badan dan gril depan lebih menonjol.

Dari segi rangkaian kuasa, Delica D:5 dan Delica D:5 Urban Gear digerakkan enjin 4N14 2.2 liter diesel turbo berkuasa 145 ps pada 3,500 rpm dan tork 380 Nm pada 2,000 rpm.

Dipadan bersama enjin ialah transmisi lapan kelajuan automatik dengan mod sport. Van ini menggunakan pacuan 4WD dan pakej rangkaian kuasa menunjukkan ianya bukan sekadar van biasa-biasa.

Bagi membawa penumpang, pelanggan boleh memilih varian tujuh atau lapan tempat duduk.

Delica D:5 Tough x Tough

Ini pula model yang dipertontonkan di Pameran Kenderaan Tokyo (TAS) 2022.

Mitsubishi melengkapinya dengan pelbagai komponen tambahan dan aksesori Ralliart bagi menonjolkan gaya lasak dan off-road.

Bahagian depan dipasang lampu kabus dan gril hitam kusam yang diseragamkan dengan warna badan Black Mica.

Delica D:5 Tough x Tough sekali lagi nampak berbeza dengan fender flare, cermin sisi merah dan riasan lampu kabus yang merupakan aksesori Ralliart.

Tidak sekadar kosmetik, Mitsubishi meninggikan badan van dengan mengubahsuai penyerap hentak dan gegelung. 

Lagi gayaan lasak ialah roda aloi 16 inci, tayar semua permukaan (AT), penghadang bampar depan dan belakang dan pelindung selut warna merah yang merupakan identiti Ralliart.

Untuk kembara jauh dan muatan lebih, Delica D:5 Tough x Tough dipasangkan rak bumbung, khemah bumbung dengan kabin dilengkapi pelapik tidur yang boleh dibuka penuh di bahagian kerusi baris kedua dan ketiga.

Harga Delica D:5 dan Delica D:5 Urban Gear

Seperti yang dikatakan di awal artikel, Mitsubishi menawarkan pelbagai varian Delica di Jepun dan sebagai rujukan, Delica D:5 M dijual pada harga 3,913,800 yen (RM144,114) manakala Delica D:5 Urban Gear berharga 4,142,600 yen (RM152,539).

BACA: MITSUBISHI VISION RALLIART CONCEPT DIDEDAHKAN

BACA: MITSUBISHI AIRTREK EV, ENJIN 4G63 TURBO DIGANTIKAN DENGAN MOTOR ELEKTRIK

BACA: MITSUBISHI LANCER EVO VI EDISI TOMMI MAKINEN PECAH REKOD. DIBIDA LEBIH RM500K

Kredit dan hak milik foto: Mitsubishi Motors Corporation

Google ads
Back to top button