![](https://www.mekanika.com.my/wp-content/uploads/2019/12/Honda-Civic-Si-Drift-Car.01-780x470.jpg)
HONDA CIVIC FC K24 926HP UNTUK DRIFT!
Industri ubahsuai di Amerika Syarikat seperti tiada sempadan. Apa yang tidak boleh didapati dari kedai, mereka akan ubahsuai sendiri. Senang cerita, apa yang dibayangkan itu yang dibuat.
Selain ubahsuai atau custom sendiri, hasil kerja penala dan bengkel di sana juga kemas seperti dikeluarkan dari kilang dan layak untuk memenangi kereta tercantik.
Di SEMA 2019, ada sebuah kereta yang hadir dengan ubahsuai ekstrem. Ia adalah sebuah Honda Civic Si Drift Car yang dibina oleh Jeanneret Racing dan Olson Kustom Works.
Honda tidak menyatakan secara terperinci ubahsuai Civic dua pintu ini kecuali enjin asal digantikan dengan jenis K24 yang dipasang menegak bagi membolehkan ia memacu roda belakang.
Civic Si ini dibuat mengikut aturan Formula Drift (FD)
Ubahsuai dibuat secara ekstensif pada casis kereta bukan setakat untuk menukar bentangan tetapi menampung kuasa enjin 926 hp! (roda) yang berlipat kali ganda berbanding enjin K24 asal.
Kerja-kerja ubahsuai casis, enjin dan badan kereta dibuat secara dalaman oleh Jeanneret Racing dan Olson Kustom Works.
Sukar untuk menemui spesifikasi terperinci Civic ini bagaimanapun hasil penelitian menampakkan turbo dari Garrett, suspensi BC Racing, brek Wilwood.
Luaran Civic ini dilengkapi fender flare custom yang diperbuat daripada plastik ABS. Rim menggunakan jenama Enkei GTC01R dengan tayar Falken Azenis.
Bahagian dalam pula dilengkapi rangka keselamatan, kerusi perlumbaan dan stereng dari Sparco.
Adakah Civic Si ini akan digunakan untuk FD? Belum lagi, ia akan digunakan untuk festival dan acara setara dan dari situ baru dinilai sama ada mahu bersaing di dalam Formula Drift.