SIASATAN GUBAH WANG HARAM. LEBIH 170 KENDERAAN DIRAMPAS BERNILAI RM10 JUTA
Biro Jenayah Aset Ireland merampas kenderaan bernilai sekitar €2 juta (RM9.8 juta) dalam Operasi Bagana.
Operasi bersepadu antara Biro Jenayah Ekonomi Polis West Midlands United Kingdom (UK) dilakukan berikutan siasatan penipuan siber dan pengubahan wang haram.
Pihak berkuasa tidak memperincikan operasi berkenaan tetapi memaklumkan siasatan tertumpu kepada kumpulan jenayah terancang antarabangsa disyaki melakukan penipuan di UK melalui sebuah kedai kereta terpakai.
Sebagai sebahagian siasatan terbabit, Biro Jenayah Aset merampas lebih 80 kenderaan termasuk Land Rovers, BMW, Hyundai dan Volkswagen.
Melalui rakaman gambar, terdapat juga kenderaan jenama Audi A8, Lexus dan beberapa Skoda.
Selain itu, pihak berkuasa turut merampas wang tunai sebanyak €21,000 (RM101,893) dan membeku akaun kewangan kumpulan terbabit melebihi €200,000 (RM 970,416).
Menurut laporan RTE, Polis West Midlands turut merampas 90 kenderaan dan menahan empat suspek.
Katanya lagi, kumpulan berkenaan mencuri wang dari perniagaan di UK melalui penyamaran sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan penipuan invois malah menggunakan kenderaan untuk ‘mencuci’ keuntungan.
Kumpulan itu akan membeli kereta di UK dan mengangkutnya ke Ireland untuk dijual melalui sebuah syarikat pengedar kereta. Ia akan bertindak sebagai barisan hadapan bagi operasi pengubahan wang haram. – carscoops.