Buletin

TUMPASNYA GENG WILLIAM. AKTIF CURI KERETA MEWAH SEJAK 13 TAHUN LALU

Polis berjaya menumpaskan Geng William yang aktif mencuri kereta mewah di sekitar ibu negara sejak 13 tahun lepas, susulan penahanan 10 ahli kumpulan berkenaan baru-baru ini. 

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata kesemua suspek berusia 17 hingga 66 tahun termasuk seorang wanita itu, ditahan dalam serbuan dilakukan sejak 8 Sept hingga semalam di sekitar Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. 

“Kumpulan ini menyasarkan kenderaan mewah yang akan dihantar ke sebuah stor di sebuah kawasan perindustrian di Nilai, Negeri Sembilan untuk dileraikan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Beliau berkata dalam serbuan ke atas stor berkenaan, polis turut menemukan kereta dan komponen kenderaan bernilai RM500,000 yang dipercayai akan dijual kepada sebuah premis menjual aksesori kenderaan di Sentul.

Susulan penahanan itu, beliau berkata pihaknya percaya dapat menyelesaikan sebanyak 20 kes curi kenderaan di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Melaka.- Bernama

Google ads
Back to top button