Buletin

SILAP SEBUT LANDASAN, 2 PESAWAT HAMPIR BERLANGGAR DI LAPANGAN TERBANG PARIS

Seorang kru menara kawalan trafik udara nyaris menyebabkan dua buah pesawat berlanggar di sebuah landasan lapangan terbang di Paris kerana tersilap menyebut nama landasan, lapor CNN.

Dalam kejadian yang berlaku di lapangan terbang Paris Charles de Gaulle itu, sebuah pesawat United Airlines Boeing 787 dari New Jersey, Amerika Syarikat sedang membuat persediaan untuk mendarat. Manakala sebuah pesawat EasyJet Airbus A320 pula sedang bersiap sedia untuk berlepas ke Malaga, Sepanyol.

Pesawat EasyJet pada ketika itu berada pada landasan 09R, manakala pesawat United Airlines pula sepatutnya mendarat pada landasan 09L.

Bagaimanapun, seorang kru pengawal trafik udara tersasul dengan memberi arahan kepada pesawat United Airlines untuk mendarat di landasan 09R.

Juruterbang yang menerima arahan itu lantas menjawab ‘faham’ namun jawapannya itu tidak didengari oleh kru menara kawalan itu yang pada masa sama telah mengarahkan pesawat EasyJet untuk berlepas.

Juruterbang pesawat EasyJet kemudiannya menyedari pesawat United Airlines sedang melakukan penerbangan turun ke landasan yang sama, lantas memaklumkan kru menara kawalan tersebut mengenai perkara itu.

Pesawat United Airlines yang ketika itu sudah pun berada pada ketinggian 91 meter dan 1,300 meter dari penghujung landasan berjaya mengelak daripada berlanggar selepas kru menara kawalan memaklumkan kepada juruterbang, yang dengan segera membatalkan pendaratan.

Kedua-dua pesawat itu bagaimanapun nyaris berlanggar apabila ia hanya berada pada jarak 91 meter antara satu sama lain.

Menurut laporan, pengawal trafik udara tersebut tidak dapat melihat secara langsung keadaan yang berlaku di landasan 09 disebabkan skrin komputer rosak. Kru pusat kawalan itu juga sedang bekerja pada skrin yang berbeza.

Dia kemudian mengaku keliru dengan permintaan sebelumnya daripada pesawat berbeza untuk mendarat di landasan 09R, dan bukan lagi 09L yang disebabkan oleh masalah teknikal. – AGENSI 

Google ads
"
"
Back to top button