
SIME MOTORS RASMI ‘BYD MANSION’ DI PULAU PINANG
Sime Darby Beyond Auto, rakan runcit sah bagi jenama kenderaan elektrik BYD di bawah Sime Motors, melancarkan sebuah pusat mobiliti elektrik baharu dikenali sebagai BYD Mansion Macalister di Jalan Macalister.
Bangunan berusia lebih satu abad itu sebelum ini pernah menjadi mercu tanda komersial tempatan yang menempatkan pelbagai perniagaan dan pejabat.
Kini, selepas melalui proses pemulihan dan adaptasi yang teliti, ia diubah menjadi bilik pameran konsep warisan pertama BYD di Malaysia.

Transformasi tersebut mengekalkan keunikan seni bina asal bangunan bersejarah berkenaan sambil memperkenalkan ruang pameran moden yang menumpukan kepada masa depan mobiliti elektrik.
Gabungan elemen warisan dan inovasi ini memberi nafas baharu kepada bangunan tersebut sebagai destinasi automotif yang unik.
Terletak di atas tapak seluas kira-kira 26,994 kaki persegi dengan keluasan binaan sekitar 9,000 kaki persegi, BYD Mansion Macalister direka sebagai destinasi automotif butik, berbeza daripada konsep pengedar kenderaan konvensional.

Ruang pamerannya menampilkan empat model kenderaan pilihan yang dipersembahkan seakan karya seni dalam suasana galeri. Ia turut dilengkapi ruang rundingan berkonsepkan lounge serta bilik penyerahan kenderaan peribadi bagi memberikan pengalaman pemilikan yang lebih eksklusif kepada pelanggan.
Selain fungsi bilik pameran, premis ini turut menyediakan pusat servis lengkap dengan lima ruang kerja, satu ruang penjajaran roda serta tiga kaunter penerimaan servis bagi memudahkan pelanggan mendapatkan khidmat selepas jualan.
Bagi menyokong ekosistem kenderaan elektrik yang semakin berkembang di Pulau Pinang, kemudahan itu juga dilengkapi hab pengecasan bandar yang menempatkan satu pengecas pantas DC 60kW serta tujuh pengecas AC.

Pengarah Urusan Sime Motors, Andrew Basham berkata, pembukaan BYD Mansion Macalister menandakan evolusi baharu dalam pengalaman runcit automotif syarikat itu.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar BYD Malaysia, Jacob Ma berkata pembukaan pusat tersebut mencerminkan komitmen jenama itu untuk berkembang lebih dekat dengan komuniti tempatan.
Menurutnya, konsep bilik pameran itu menggabungkan pengalaman pelanggan premium, inovasi teknologi serta sentuhan budaya tempatan yang mencerminkan identiti pasaran Malaysia.

Kerjasama antara Sime Darby Beyond Auto dan BYD bermula pada Disember 2022 dan kini meliputi rangkaian pusat jualan serta servis di beberapa lokasi termasuk Ara Damansara, TREC Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Tebrau.
Prestasi Sime Darby Beyond Auto dalam rangkaian BYD turut mendapat pengiktirafan apabila pusat BYD Pulau Pinang dinobatkan sebagai pengedar terbaik di Malaysia.
Selain itu, kumpulan tersebut turut meraih 13 daripada 27 anugerah pada Persidangan dan Malam Anugerah Pengedar BYD tahun ini.
Dengan pembukaan BYD Mansion Macalister, Sime Darby Beyond Auto terus memperkukuh kehadirannya dalam pasaran sambil menyediakan pintu masuk baharu kepada pengguna yang ingin beralih kepada kenderaan elektrik.

