Artikel Pilihan

KENAPA XPANDER 2 BEG UDARA DAPAT 4 BINTANG TAPI X90 DENGAN 6 BEG UDARA DAPAT 1 BINTANG?

Semalam kecoh di media sosial apabila ramai membandingkan Mitsubishi Xpander dengan Proton X90 facelift 2026. Ada yang pelik kenapa Xpander, dengan hanya 2 beg udara, boleh memperoleh 4‑bintang dalam ujian keselamatan ASEAN NCAP, manakala X90 yang dilengkapi 6 beg udara jatuh terus ke 1‑bintang selepas facelift.

Nampak macam tidak masuk akal, tetapi sebenarnya ada sebab teknikal yang jelas di sebalik fenomena ini.

Ramai orang sering keliru kerana menganggap lebih banyak beg udara bermakna lebih tinggi bintang yang diperoleh dari ASEAN NCAP. Sebenarnya, penilaian NCAP mengambil kira beberapa kategori berbeza.

Antaranya termasuk keselamatan penumpang dewasa, keselamatan kanak-kanak, sistem bantuan pemandu (Safety Assist/ADAS), dan keselamatan pengguna jalan lain seperti penunggang motosikal dan pejalan kaki. Oleh itu, walaupun kereta selamat semasa kemalangan, rating boleh jatuh jika teknologi untuk mencegah kemalangan tidak mencukupi.

Mitsubishi Xpander: 4 Star Dengan 2 Beg Udara

Xpander diuji mengikut protokol ASEAN NCAP 2016, ketika penekanan utama masih pada struktur badan, beg udara, sistem ESC dan peringatan tali pinggang keledar. Pada waktu itu, ADAS tidak diwajibkan.

Oleh itu, walaupun hanya memiliki dua beg udara, Xpander berjaya meraih 4‑star. Selepas facelift terbaru, Xpander mengekalkan semua ciri keselamatan asal, menyebab rating keseluruhan tidak berubah. Ini menunjukkan bahawa protokol lama membolehkan kereta tanpa ADAS memperoleh markah tinggi jika ciri asas keselamatan fizikal memadai.

Proton X90: Dari 5 Star Jadi 1 Star Selepas Facelift

Berbeza dengan Xpander, Proton X90 diuji mengikut protokol ASEAN NCAP 2023 yang terbaru dan jauh lebih ketat. Model lama X90 mampu meraih 5‑star kerana ia dilengkapi pakej ADAS penuh, termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Keep Assist, Blind Spot Monitoring, dan Rear Cross Traffic Alert.

Fokus tambahan pada pengguna jalan vulnerable

Protokol baru bukan hanya menilai keselamatan penumpang dalam kereta. Ia juga memberi penekanan kepada pengguna jalan lain, seperti:

  • Motorcyclist / Pedestrian / Cyclist Safety
  • Vulnerable Road Users (VRU)

Ini sangat penting kerana Malaysia & ASEAN terkenal dengan penggunaan motosikal yang tinggi. Kereta diuji untuk mengelakkan pelanggaran dengan motosikal atau pejalan kaki, dan sistem ADAS seperti AEB City / AEB VRU boleh mengurangkan risiko kemalangan dengan mereka. Jika kereta tiada ADAS, markah untuk kategori ini jatuh ke bawah, dan kesannya boleh menjejaskan overall rating.

Facelift terbaru X90 membuang semua sistem ADAS ini untuk menurunkan harga, menyebabkan markah bagi kategori Safety Assist dan Motorcyclist/Vulnerable Road User jatuh teruk. Hasilnya, rating keseluruhan merudum ke 1‑star sahaja.

Namun struktur badan X90 dan jumlah beg udara masih sama, bermakna kereta itu masih selamat dalam crash test. Rating rendah bukan kerana kereta menjadi tidak selamat, tetapi kerana protokol baru menilai kemampuan mencegah kemalangan sama penting dengan kemampuan melindungi penumpang semasa kemalangan.

Perlindungan vs Pencegahan

Untuk memudahkan pemahaman, ratingASEAN NCAP boleh dibahagikan kepada dua konsep iaitu perlindungan dan pencegahan. Protection merujuk kepada keselamatan semasa kemalangan, contohnya beg udara, struktur badan dan tali pinggang keledar. Ini adalah asas kepada protokol ASEAN NCAP 2016

Pencegahan pula adalah kemampuan kereta untuk mengelakkan kemalangan berlaku, contohnya melalui ADAS seperti AEB, lane assist dan sistem pengesan titik buta. ASEAN NCAP 2023 menekankan pencegahan, oleh sebab itu kereta tanpa ADAS boleh jatuh rating walaupun ciri perlindungan adalah lengkap.

Proton X90 facelift masih selamat dari segi struktur dan beg udara, tetapi penurunan rating mencerminkan keperluan teknologi pencegahan kemalangan dalam standard keselamatan terkini. Pembaca harus faham bahawa angka star bukanlah gambaran mutlak keselamatan sesebuah kereta, tetapi gabungan perlindungan semasa kemalangan dan kemampuan mencegah kemalangan sebelum ia berlaku.

Google ads
Back to top button