Buletin

PORSCHE CAYENNE S ELECTRIC, MODEL TENGAH TETAP PADU!

Porsche menambah barisan model SUV elektrik menerusi pengenalan Cayenne S Electric. Model baharu ini hadir sebagai varian pertengahan yang mengisi ruang di antara varian asas Cayenne Electric dan varian tertinggi iaitu Cayenne Electric Turbo.

Secara tradisinya dalam hierarki produk Porsche, model S digunakan untuk menawarkan peningkatan prestasi dan kelengkapan yang lebih tinggi berbanding model asas tanpa perlu beralih sepenuhnya ke varian Turbo.

Ia menawarkan gabungan yang seimbang antara prestasi tinggi, kecekapan pemanduan dan senarai kelengkapan yang lebih lengkap bagi memenuhi keperluan peminat SUV mewah yang mahukan lebih kuasa.

Rangkaian Kuasa dan Prestasi

Sebagai model yang berada di tengah, varian ini dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda elektrik yang menggunakan satu motor segerak magnet kekal pada gandar hadapan dan belakang.

Sistem ini menghasilkan output kuasa 400 kW (544 ps) dan boleh meningkat sehingga 490 kW (666 ps) apabila fungsi Launch Control diaktifkan.

Berbanding model asas, varian S ini menerima lonjakan kuasa sebanyak 165 kW (224 ps).

Kehebatan teknikal ini membolehkan Cayenne S Electric memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat, dengan kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j.

Selain itu, motor elektrik pada gandar belakang menggunakan sistem penyejukan minyak terus untuk memastikan kecekapan dan daya tahan beban berterusan yang tinggi dan mirip teknologi model Turbo.

Inverter nadi pada bahagian belakang pula menggunakan bahan semikonduktor silikon karbida yang mampu memproses arus sehingga 620 amp.

Teknologi Bateri dan Pengecasan

Sama seperti model Cayenne Electric yang lain, varian S ini menggunakan bateri voltan tinggi dengan kapasiti tenaga kasar 113 kWj.

Dengan keupayaan pengecasan pantas sehingga 400 kW di stesen pengecasan yang sesuai, tahap pengecasan bateri boleh ditingkatkan dari 10 peratus ke 80 peratus kurang daripada 16 minit.

Berdasarkan kitaran WLTP, jarak gerak gabungan bagi model ini adalah sehingga 653 km.

Reka Bentuk Luaran dan Dinamik Pemanduan

Penampilan luarannya Cayenne S dibezakan melalui rekaan khusus pada bahagian apron hadapan dan belakang yang menggunakan warna Volcano Grey Metallic.

Rim 20 inci Cayenne S Aero menjadi kelengkapan standard, manakala bahagian sisipan dan peresap dicat mengikut warna badan kenderaan.

Bagi meningkatkan dinamik pemanduan, Porsche menawarkan pilihan sistem Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus) dan suspensi premium Porsche Active Ride bagi mengimbangi pergerakan badan kereta untuk kestabilan luar biasa.

Ciri-ciri ini sebelum ini hanya dikhaskan untuk model Turbo. Turut tersedia adalah sistem brek Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB) dengan angkup berwarna kuning dan Pakej Sport Chrono.

Melalui fungsi Push to Pass, pemandu boleh mendapatkan tambahan kuasa sehingga 90 kW (122 ps) selama 10 saat.

Mod Track terbina pula memastikan prestasi maksimum di litar melalui penyediaan awal suhu bateri secara sasar.

Pakej Gaya Dalaman Eksklusif

Porsche turut memperkenalkan barisan produk Style melalui Exclusive Manufaktur.

Salah satu tawaran terbaharu ialah Interior Style Package yang menggunakan skema warna Mystic Green Metallic.

Ruang kabin dihiasi dengan balutan kulit dua warna iaitu Hitam dan Delgada Green yang turut meliputi kemasan pintu serta kerusi sport dengan pelarasan 14 arah.

Perincian dalaman merangkumi jahitan hiasan Delgada Green, logo Porsche yang disulam pada penyandar kepala, serta kemasan aluminium dalam warna Izabal Green.

Stereng sport GT dibalut kulit hitam dengan penanda pukul 12 dan jahitan silang khas. Kunci kereta juga hadir dengan kemasan warna Izabal Green dan bekas simpanan yang sepadan.

Penampilan keseluruhan dilengkapkan dengan pelindung ambang pintu aluminium anod hitam dengan nama model yang menyala dalam warna hijau.

Spesifikasi Teknikal Porsche Cayenne S

  • Kapasiti Bateri: 113 kWj
  • Output Kuasa: 400 kW (544 ps)
  • Output Maksimum (Launch Control): 490 kW (666 ps)
  • Pecutan 0-100 km/j: 3.8 saat
  • Kelajuan Tertinggi: 250 km/j
  • Sistem Pacuan: Pacuan semua roda (AWD)
  • Jarak Gerak (WLTP): Sehingga 653 km
  • Kadar Pengecasan Maksimum: 400 kW
  • Masa Pengecasan (10-80%): Kurang 16 minit
  • Penggunaan Elektrik Gabungan: 21.6 hingga 19.5 kWj/100 km
  • Saiz Rim: 20 inci Cayenne S Aero
Google ads
Back to top button