Buletin

HYUNDAI ELANTRA N TCR – MAAF, UNTUK LITAR SAHAJA!

Selain Kejohanan Rali Dunia (WRC), Hyundai juga giat dalam perlumbaan kereta penumpang (TCR) melalui model i30 N TCR dan Veloster N TCR. 

Kini ada model baharu iaitu Hyundai Elantra N TCR dan seperti dua model sebelumnya dibangunkan khusus untuk perlumbaan kereta penumpang.

Model terbaru itu direka dan dibina oleh Hyundai Motorsport Customer Racing dan ditawarkan kepada pasukan perlumbaan yang berminat.

Hyundai memperkenalkan Elantra N TCR buat kali pertama sempena Pameran Kenderaan Beijing 2020 dan selepas menjalani tiga bulan ujian pertama dengan jarak meliputi 5,000 kilometer.

Hyundai mensasarkan untuk menawarkan Elantra N TCR ke pasaran di mana Elantra standard ada dijual.

Projek pembangunan kereta ini bermula dari kosong yang membolehkan para pereka dan jurutera Customer Racing untuk meneroka casis dan gaya badan sedan bagi mengoptimumkan hasil kerja mereka.

Pereka dan jurutera juga berupaya untuk menterjemahkan kepakaran yang diperolehi dari i30 N TCR dan Veloster N TCR untuk menghasilkan pakej perlumbaan terbaik selain mengambil peluang untuk menambah baik kereta sedia ada.

Selari dengan peraturan TCR, Elantra N TCR dipacu dua roda depan dan dikuasakan enjin 2.0 liter turbo dari enjin asas baharu yang disumber dari model kereta produksi.

Enjin 2.0 liter turbo itu dipadan bersama kotak gear enam kelajuan berturutan (sequential) sama seperti i30 N TCR dan Veloster N TCR dan dioperasi menggunakan padel penukaran gear. 

Ujian pertama Elantra N TCR ialah pada bulan Jun 2020 dan sedang berjalan dengan baik.

Para jurutera yang bertanggungjawab untuk kereta ini telah melawat beberapa litar di sekitar Eropah bagi membangunkan pakej pecutan dan jarak jauh pada masa serentak.

Bahagian Customer Racing juga telah mendapatkan pendapat beberapa pemandu sebelum ujian pada Oktober.

Di antaranya ialah Gabriele Tarquini yang berperanan dalam membangunkan i30 N TCR dan salah seorang daripada pemandu i30 N TCR untuk siri WTCR – FIA World Touring Car Cup.

Sejak memulakan saingan di litar lumba pada penghujung musim 2017, pelanggan yang menggunakan i30 N TCR telah berjaya meraih kejuaraan pemandu WTCR secara berturut-turut.

Ujian Elantra N TCR akan diteruskan pada bulan-bulan mendatang dan casis pertama dijadual untuk diserahkan kepada pelanggan sebelum penghujung tahun 2020.

BACA: HYUNDAI i30 N 2021, 2.0L TURBO 250 PS 353 NM!

BACA: HYUNDAI KONA N LINE, INI BARU MENGANCAM!

BACA: HYUNDAI ELANTRA N LINE 1.6 TURBO, ADA GAYA ADA KUASA!

Google ads
Back to top button