
SUBARU LEVORG LAYBACK DIPERKENALKAN DI JEPUN, 174HP, HARGA MASIH RAHSIA
Subaru baru-baru ini memperkenalkan Levorg Layback untuk pasaran Jepun dengan menampilkan penggayaan seperti crossover, sebagai alternatif kepada SUV yang lebih tradisional.
Dari segi dimensi, model ini mempunyai ukuran 4,770mm (panjang), 1,820mm (lebar) dan 1,570mm (tinggi). Ini menjadikannya 15mm lebih panjang, 25mm lebih lebar serta 70mm lebih tinggi berbanding model standard.
Selain itu, peningkatan turut dibuat, antaranya jarak kelegaan tanah dinaikkan sebanyak 55mm berbanding Levorg standard, iaitu 200mm.
Perbezaan lain berbanding model standard termasuklah menampilkan gril lebih lebar dengan sisipan gaya aluminium dan corak baharu.

Model ini diserlahkan lagi melalui padanan rim aloi bersaiz 18-inci dan dibalut bersama tayar 225/55R18.
Di dalam kabin, model baharu ini dimuatkan dengan skrin sentuh infotainment 11.6-inci, pencahayaan ambien, sistem bunyi Harman Kardon, sunroof serta pakej Eyesight X ADAS terbaru Subaru.
Bukan itu sahaja, Subaru juga menyediakan aksesori bagi model ini yang kini sudah tersedia di laman web rasmi. Selain itu, Subaru turut menawarkan dua jenis bodykit lebih sporty (Urban Style dan STI) serta DRL tambahan.
Beralih kepada kuasa, Levorg Layback dijana oleh enjin boxer 1.8 liter turbo, berupaya menghamburkan kuasa 174hp dan tork 300Nm.
Nadi berkenaan dipadankan dengan transmisi CVT Lineartronic serta sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical AWD.
Subaru bagaimanapun belum mengumumkan harga untuk Levorg Layback di Jepun tetapi ia dijangka ia lebih mahal sedikit berbanding Levorg standard.
GALERI:




















