SUBARU WRX RALLY, LEBIH 18 BULAN UNTUK SIAP, TRAVIS PASTRANA PANDU MUSIM 2024
Subaru Impreza dikenali sebagai jentera rali yang kini diwariskan kepada WRX dan perlu berhadapan dengan kumpulan kereta rali hatchback.
Walaupun lama meninggalkan Kejohanan Rali Dunia (WRC), Subaru dan WRX kekal aktif di dalam perlumbaan rali di Amerika Syarikat.
Terbaru Subaru Motorsports USA memperkenalkan kereta rali WRX baharu yang akan bersaing di dalam kategori 4WD Terbuka Kejohanan Persatuan Rali Amerika (ARA).
WRX dengan nombor 180 akan digunakan buat kali pertama di dalam Ojibwe Forests Rally pada 24 Ogos dan dikemudi Brandon Semenuk dan pemandu arah Keaton Williams.
Bintang sukan ekstrem Travis Pastrana pula akan memandu WRX kedua pada rali ARA musim 2024.
WRX rali ini dibuat oleh rakan teknikal Subaru, Vermont SportsCar dan menariknya menggunakan unit pertama WRX yang sekarang ini dijual di Amerika Syarikat.
Sebagai makluman, Subaru Motorsports USA diuruskan Vermont SportsCar.
Lebih 18 bulan digunakan untuk menyiapkan kereta ini dari reka bentuk, pembinaan dan pengujian sebelum diperkenalkan secara rasmi pada 2 Ogos.
Enjin 2.0 liter boxer dipasang pengecas turbo baharu buatan khas dan perlu menepati peraturan kelas seperti penyekat 33 milimeter (mm) dan had galak 22psi.
Enjin itu menghasilkan 320 kuasa kuda (hp) dan tork 515Nm dengan transmisi enam kelajuan nisbah rapat SADEV menghantar kuasa kepada keempat-empat roda.
Pegas dan peredam dari R53 Suspension manakala anggota silang (cross member), pautan (links) dan hab direka oleh VSC.
Tayar 15 inci Yokohama ADVAN A053 dipasang untuk meredah laluan bertanah. Tangki asal WRX diganti dengan sel bahan api Kevlar 82 liter.
Sebagai kereta rali, keselamatan pemandu dan pemandu arah tersangat penting.
Rangka badan diperkukuh dengan kimpalan lipit (seam welding) penuh dan dipasang rangka keselamatan spesifikasi FIA/USAC yang dibuat dari keluli T45.
Pemandu dan pemandu arah duduk diberi kerusi Sparco ADV Prime dengan HANS (Head and Neck Restraint System).
Bahagian dalam kereta juga menggunakan sarung fabrik pemadam api sendiri dan pad penyerap tenaga spesifikasi FIA.
Badan lebar WRX dibuat dari gentian karbon dan seperti yang ditetapkan peraturan aerodinamik ARA.
Spoiler gentian karbon gah di belakang dan warna kusam WR Blue Pearl dengan grafik badan mengingatkan kepada kereta rali klasik Subaru.
Penyertaan dan ketekalan WRX memang wajar kerana singkatan itu merujuk kepada World Rally Experimental.
Kredit foto: Subaru
BACA: SUBARU LEVORG SPECIAL EDITION “SMART EDITION” 1.8L TURBO, DARIPADA RM110 RIBU
BACA: SUBARU BRZ tS, TERIMA NAIK TARAF BREK DAN SISTEM SUSPENSI
BACA: SUBARU CROSSTREK WILDERNESS, MODEL TINGGI UNTUK HARUNG LALUAN LASAK