Artikel Pilihan

PRODRIVE P25 IALAH SUBARU IMPREZA TERHEBAT DI DUNIA – JANGAN TANYA PASAL HARGA

Ada yang tak kenal Prodrive ke? Ia adalah satu-satunya syarikat yang mempunyai kemahiran untuk menyempurnakan Subaru Impreza. Mereka juga bertanggungjawab ke atas kejayaan Subari dalam perlumbaan WRC sehingga tahun 2008.

Bukan itu sahaja, Prodrive turut memberikan sentuhan mereka untuk jentera Ferrari 550 GT1, Aston Martin Pro GT dan pasukan Formula Satu BAR. Tapi sudah tentu jentera biru dengan jenama 555 yang memperkenalkan mereka kepada dunia.

Pada tahun 1998, 22B merupakan Subaru Impreza terhebat dengan rekaan badan coupe dan sistem pacuan semua roda. Ia dibekalkan dengan enjin 2.0 liter flat-four turbo yang mampu menjana 276 hp kuasa dan dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan. Subaru hanya membina 400 unit khusus untuk pasaran Jepun. Kini ada diantaranya berada di beberapa negara lain seperti Australia dan UK.

Subaru Impreza WRX kemudian dinaiktaraf oleh Prodrive dan diberi nama baharu; P25. Paling penting dalam penghasilan P25 ialah badan ataupun casisnya. Trenkuasa asal langsung tidak diperlukan kerana ia memang akan dibuang tapi casisnya adalah sangat penting.

Bayangkan mereka menghabiskan masa sekitar 700 jam hanya untuk menyempurnakan badan P25 ini. Ia dimesti diperkuatkan, bebas dari karat dan mesti cukup teguh untuk menampung bebanan kuasa yang lebih tinggi.

Prototaip P25 menunjukkan gabungan Impreza tahun 90 an dan sentuhan moden dan futuristik. Jarak antara panel kini lebih kecil dan panel badannya kelihatan lebih kemas kerana hampir kesemuanya dihasilkan daripada serat karbon.

Catnya adalah khusus untuk P25 begitu juga dengan lampu hadapan dan belakang. Lampu-lampunya bukan dibeli dari Shopi Motorsport ataupun kedai aksesori Ah Keong tapi dihasilkan sendiri oleh Prodrive. Bumper hadapan juga rekaan baharu dan membantu dalam proses sejukan.

Berbeza pula dengan bahagian dalaman yang memang tidak sehebat kereta mewah keluaran Mercedes ataupun BMW. Bunyi pintunya ditutup masih sama seperti model asal keluaran tahun 1997. Bezanya kini ia menggunakan tempat duduk suede yang lebih moden dan selesa.

Jangan harap nak mewah-mewah sebab ini bukan kereta mewah walaupun harganya melebihi RM2.3 juta! Ya itulah harga sebuah P25. Macam mana? Baik beli Ferrari ke baik beli banglo dengan kolam renang?

Ia bukan kereta trek semata-mata walaupun sudah tentu ada yang akan membawanya ke trek perlumbaan. P25 mesti mempunyai kehebatan yang sesuai dengan lencana Prodrive yang digunakannya. Bezanya ia mempunyai kemasan dalaman yang berfungsi sepenuhnya, penyaman udara dan sistem stereo.

Kotak pedalnya memang satu karya seni dan dipasang pada bahagian lantai. Tiga kesemuanya walaupun hanya dua yang sering digunakan. Ia menggunakan sistem klac by-wire yang canggih. Ia boleh dihasilkan dengan versu automatik sepenuhnya tapi sebab nak ada feel rali kena la ada pedal klac.

Ia menggunakan sistem ekzos Akrapovic penuh yang mengalun irama ‘merdu’ sebaik enjin EJ25 dihidupkan. EJ25 merupakan enjin siri EJ terakhir cuma untuk kereta ini ia telah di’overhaul’ sepenuhnya. Bahagian dalam dan sistem turbo serba baharu disatukan untuk menjana 440 hp kuasa maksima.

Perhatikan pedal gear tunggal di sebelah roda stereng. Ia merupakan sistem yang dibangunkan pada zaman Colin McRae, Richard Burns dan Peter Solberg menguasai rali dunia. Ia membolehkan mereka mengawal tukaran gear dengan sebelah tangan. Tangan satu lagi digunakan untuk mengawal pergerakan kereta seperti menghasilkan powerslide untuk menakluk selekoh tajam.

Terdapat pilihan mod berbeza berdasarkan pilihan pemandu. Bukan itu sahaja, ia turut dilengkapi dengan anti-lag ringan dan dikawal oleh ECU perlumbaan keluaran Bosch. Kenapa tak guna anti-lag professional? Sebab mereka tahu pembeli kereta ini tidak akan selalu menggunakan fungsi tersebut dan ia hanya bermanafaat jika berada di tangan pemandu professional.

Amacam? Nak beli tak? Harganya lebih kurang RM2.3 juta seunit tidak termasuk cukai import. Kalau berminat pun rasanya tak boleh beli sebab kesemua 25 unit telah habis terjual.

Google ads
Back to top button