Artikel PilihanBuletin

SUBARU WRX AKAN GUNA ENJIN BRZ, 350HP DENGAN TURBO

Walaupun seteru Subaru iaitu Mitsubishi Evolution telah lama meninggalkan pasaran, Subaru tetap akan menghasilkan model WRX terbaru. Setakat ini model WRX tiada pesaing terdekat melainkan mode Nissan GT-R yang sudah lama berada di pasaran.

Model WRX dihasilkan oleh Subaru bagi mencabar hegemoni Evolution dalam pentas perlumbaan rali antarabangsa. Evolusi perkembangan teknologi menyaksikan Subaru sentiasa memperkemaskan teknologi pacuan semua roda dan juga pengenalan enjin yang lebih berkuasa

Model WRX STI yang satu ketika dulu bermaharajalela di perlumbaan rali mampu menghasilkan 310 kuasa kuda dari enjin 2500cc boxer 4 silinder turbo. Menurut media automotif Jepun, Subaru sedang fasa akhir bagi melancarkan model WRX terbaru dalam masa 12 bulan lagi.

Berdasarkan maklumat awal, kehadiran scoop udara di atas hud depan menggambarkan kuasa yang akan dihasilkan oleh model WRX terbaru ini. Sama seperti model lain, enjin EJ 2500cc akan digantikan dengan enjin FA24 iaitu 2400cc boxer 4 silinder sama seperti gandingan Subaru BRZ dan Toyota GT 86.

Enjin ini adalah enjin yang sama dipasang pada model Subaru Outback dan Subaru Legacy, namun pada kedua dua model ini enjin F24F ini menghasilkan 260 kuasa kuda dan 376Nm tork. Namun dengan kehadiran turbo yang lebih besar dan talaan ECU berbeza, enjin ini dikatakan mampu menjana 350 kuasa kuda

Laporan dari media automotif Jepun lagi, setakat ini Subaru tidak merancang untuk memasang teknologi elektrifikasi dan juga hibrid pada WRX. Namun ia bakal menjadi model terakhir WRX yang menggunakan enjin pembakaran dalam sebelum teknologi hibrid digunakan secara meluas.

Rekaan luar WRX akan menggunakan konsep Subaru Viziv Performance yang pernah dipertontonkan beberapa tahun lepas. Rekaan ini tampil lebih agresif berbanding dengan model sebelumnya. Dari aspek keselamatan, kita boleh membuat andaian awal sistem Subaru EyeSightX akan dipasang pada model terbaru ini

Google ads
Back to top button