Buletin

iCAUR V25 BAKAL DIPERKENAL 19 OKTOBER DI CHINA, TAWAR PILIHAN REEV DAN BEV

iCAUR bakal memperluas rangkaian SUV siri V menerusi pelancaran rasmi model baharu, iCAUR V25, pada 19 Oktober sempena 2026 iCAUR International User Summit di Wuhu, China.

Model itu akan diperkenalkan bersama iCAUR V23 dan iCAUR V27 kepada pengguna serta media antarabangsa, sekali gus menambah pilihan dalam keluarga SUV jenama berkenaan.

Dari segi reka bentuk, iCAUR V25 mengekalkan identiti badan berkotak yang menjadi ciri utama siri V, namun diberikan sentuhan moden menerusi konsep Future-Classic.

Reka bentuknya menampilkan perkadaran badan hampir 1:1, lampu utama bulat klasik serta tayar berprofil lebar bagi menyerlahkan penampilan tegap dan tinggi seperti sebuah SUV lasak.

Bagi sistem rangkaian kuasa, iCAUR V25 bakal ditawarkan dalam pilihan kenderaan elektrik dengan pemanjang jarak (REEV) dan kenderaan elektrik bateri (BEV), sekali gus memberikan fleksibiliti kepada pengguna mengikut keperluan perjalanan masing-masing.

Varian REEV menggabungkan pemanduan elektrik dengan sistem pemanjang jarak bagi menyokong perjalanan harian dan jarak jauh, manakala pilihan BEV menawarkan pemanduan menggunakan tenaga bateri sepenuhnya.

Model itu turut dilengkapi sistem pacuan semua roda i-AWD yang direka untuk meningkatkan keupayaan merentasi pelbagai keadaan jalan, termasuk ketika pemanduan di kawasan bandar dan aktiviti luar.

Selain aspek pemanduan, iCAUR V25 turut menekankan fleksibiliti penggunaan menerusi ruang kabin yang luas serta kemudahan pengubahsuaian mengikut keperluan pemilik.

Konsep itu membolehkan kenderaan berkenaan disesuaikan untuk pelbagai aktiviti seperti perkhemahan, berbasikal dan penerokaan kawasan luar bandar, selain kegunaan harian.

Pendekatan berkenaan selari dengan falsafah iCAUR yang mahu menjadikan kenderaan bukan sekadar alat pengangkutan, sebaliknya teman gaya hidup yang boleh disesuaikan mengikut minat dan keperluan pengguna.

Kemunculan V25 turut memperkukuh kedudukan siri V yang merangkumi V23 dan V27, dengan menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna yang mengutamakan reka bentuk tersendiri serta penggunaan kenderaan untuk pelbagai situasi.

Maklumat lanjut mengenai spesifikasi penuh, prestasi, kapasiti bateri dan harga iCAUR V25 dijangka diketahui selepas pelancaran rasminya.

Google ads
Back to top button