Buletin

DATUK BANDAR BATAL SERTA MERTA PEMBINAAN LITAR BAHARU F1 RIO

Cadangan pembinaan litar baharu Formula Satu (F1) di pinggir hutan Rio de Janiero, Brazil dibatalkan serta merta selepas didakwa akan merosakkan alam sekitar.

Perancangan pembinaan litar F1 tersebut mendapat kritikan hebat daripada juara dunia tujuh kali F1, Lewis Hamilton yang membantah penebangan hutan berkenaan.

Setiausaha Alam Sekitar Rio, Eduardo Cavaliere memberitahu bahawa Datuk Bandar Rio yang baharu, Eduardo Paes yang memegang jawatan tersebut bulan lalu telah mengarahkan agar proses untuk mendapatkan le­sen kelulusan dibatalkan.

“Kami secara rasmi memba­talkan pembinaan Litar Antarabangsa Rio di kawasan hutan Camboata,” kata Cavaliere.

Pembinaan litar baharu di hutan Camboata sebelum ini telah mendapat sokongan Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dan juga bekas datuk bandar Rio, Marcelo Crivella dan sokongan itu telah mencetuskan kemarahan masyarakat umum.

Begitupun, Litar Interlagos, Sao Paulo akan terus menjadi litar Grand Prix (GP) Brazil dalam kalendar F1 sehingga tahun 2025.

Pada musim lalu, perlumbaan terpaksa dibatalkan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia malah Brazil merupakan antara negara terjejas teruk. – agensi

Google ads
Back to top button