Artikel Pilihan

SUZUKI VITARA – CINTA PERTAMA BUGYM YANG KETIGA

BK punya kenalan, Firdaus Ali Mokhtar namanya. Kalau ikut nama, Insya Allah bakal Ahli Syurga kelak. Tapi dia punya perangai, ada sikit nakal. Sungguh pun nakal, beliau sebenarnya seorang yang dengar kata mak. Tak pernah melawan langsung cakap mak. Memang ciri Ahli Syurga. Cuma nama Bugym ini tidak pasti pula Ahli mana.

Selain daripada wajah yang kacak persis seorang model ubat nyamuk, Bugym juga merupakan seorang pencinta wanita. Eh silap. Pencinta kereta. Dalam dunia ini, beliau cinta pertama Bugym adalah Ford Capri, yang mana pernah dimiliki oleh Ayah beliau sewaktu masih kecil. Ketika Bugym mula menginjak remaja dan mula mengenali apa itu klip 3gp dan sebagainya, beliau mula menaruh hati kepada Honda Prelude sehinggakan sewaktu mula memperoleh slip gaji tiga bulan pertama usai tamat graduasi, terus sahaja ke bank “Saya mesti pilih” untuk membuat pinjaman peribadi bagi membeli model kereta sports tersebut.

Setelah beberapa tahun, akhinya Bugym sedar, akan cinta pertama ketiga yang tidak pernah beliau miliki hingga ke hari ini. Suzuki Vitara generasi pertama. Maka diteruskanlah pemburuan misi mendapatkan Suzuki Vitara ini. Dan pencariannya berhasil apabila menemui sebuah model keluaran tahun 2000 tapi kondisinya teramatlah elok walhal usianya sudah mencecah 20 tahun lamanya. Pandai sungguh pemilik lama menjaga dengan baik.

Penampilan luaran Suzuki Vitara ini jelas hampir kelihatan macam baru dari segi penampilan catnya yang tidak kelihatan kusam dan pudar. Masih berkilat seadanya. Paling menarik tentang Suzuki Vitara ini sudah tentulah rekaan dua pintunya. Siapa kata model SUV tidak boleh kelihatan sporty. Nampak sporty dan garang, terutamanya Bar yang menghiasi rupa hadapan Vitara lama ini.

Secara jujurnya BK cukup menggemari rekaan SUV sebegini, apatah lagi dengan rekaan tayar simpanan yang disangkut di belakang, bukannya disorok di bahagian bawah badan kereta. Seksa tahu tak kalau nak bawa keluar. Adoi! Sungguh pun begitu, rekaan Suzuki Vitara generasi pertama versi yang terakhir ini ternyata cukup evergreen. Terutamanya dengan rekaan ketak ketak di bahagian belakang. Ini barulah real maskulin, kata Bugym lagi. Sesuai dengan saya yang ganteng ni kan, tambah Bugym lagi sambil menghisap Marlboro Hijau.

Enjin 1.6 liter dengan kotak gear auto 4 kelajuan ini masih lagi berfungsi dengan cemerlang tanpa masalah.Tak adalah lembab sangat pun. Nak pandu dalam bandar ulang alik pergi kerja atau sesekali masuk hutan mencari Jin untuk dibuat belaan juga tiada masalah.

Ternyata pembelian model yang nampak masih lagi rugged seperti Yantzen ini cukup berbaloi buat Bugym. Pemerikasaan secara menyeluruh terhadap Suzuki Vitara ini hampir tiada cacat celanya. Tiada langsung kesan bocoran atau pun percikan minyak di sana sini, seperti kelaziman kereta yang telah lanjut usia. Bugym cuma mengganti lampu bahagian belakang yang kelihatan tidak lagi begitu menawan serta memasang tinted gelap serupa keturunan Bangsawan.

Percaya atau pun tidak, harga bagi mendapatkan model yang sedap dan kondisi serupa Erra Fazira ini tidaklah murah. Melebihi RM25,000 ke atas harus disediakan. Berbaloi ke tidak? Bila ditanya, Bugym hanya mengangkat kedua kening sahaja sebagai jawapan. Hmmmmmm.

BACA : SUZUKI X-90 – SUV ERA 90AN YANG FUNKY

BACA : SUZUKI VITARA KEMBALI LAGI

Google ads

B K

Back to top button