Buletin

RAMPASAN KUASA DI MYANMAR, SUZUKI HENTIKAN SEMENTARA OPERASI DUA KILANG DI YANGON

Suzuki Motor Corp. mengumumkan bahawa ia telah memberhentikan produksi dua buah kilangnya di Yangon, Myanmar buat sementara waktu bagi memastikan keselamatan 400 orang pekerjanya berikutan rampasan kuasa oleh junta tentera.

Syarikat Jepun yang lain seperti Aeon Co. dan pembuat alat ganti automotif, Denso pula sedang sibuk menilai situasi berkenaan.

Suzuki yang mempunyai 60 peratus pegangan pasaran di Myanmar berjaya menjual 13,200 unit kenderaan pad tahun 2019. Ia kini sedang menilai bilakah produksi dapat dimulakan semula.  

Junta tentera dilapor merampas kuasa daripada kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang dipilih oleh rakyat pada Isnin lalu. Suu Kyi ditahan bersama beberapa pemimpin lain dalam serbuan pada awal pagi.

Sejak kemenangan besar Suu Kyi pada tahun 2015, banyak syarikat Jepun termasuklah Kirin Holdings mula melabur di sana.

Walaupun pelabur tidak bersetuju dengan penindasan kerajaan ke atas golongan minoriti Islam Rohingya, namun ratusan syarikat Jepun masih kekal di Myanmar. Mereka nyata tertarik dengan pasaran 50 juta penduduk yang kian membangun itu.

Terdapat sekitar 400 syarikat Jepun menjalankan perniagaan di Myanmar. Toyota Motor Corp. yang merancang untuk memulakan operasi kilang pertamanya di Myanmar bulan ini menyatakan ia sedang menilai situasi semasa.

“Kami masih belum dapat menghubungi mereka. Jadi kami tidak tahu keadaan sebenar,” kata seorang jurucakap Toyota. – Japan Times

Google ads
Back to top button