Artikel PilihanBuletin

TAHUKAH ANDA VW PASSAT SUDAH 45 TAHUN? SAINGAN HONDA ACCCORD DAN TOYOTA CAMRY

Untuk satu tempoh yang lama pengguna tempatan yang mahu memiliki kereta segmen D hanya ditawarkan beberapa model massa sahaja.

Sama ada Honda Accord, Toyota Camry, Nissan Cefiro atau Proton Perdana. Segmen tersebut kekal didominasi jenama Jepun atau tempatan.

Segalanya berubah apabila kenderaan dari Korea Selatan dan Jerman memasuki segmen ini. Kia Optima, Hyundai Sonata dan Volkswagen Passat mula memenuhi jalan raya tempatan.

Sebelum ini memiliki kereta segmen D Jerman bermakna anda perlu mengeluarkan lebih dari RM 200,000, sekarang ia boleh dimiliki di bawah angka tersebut.

VW memasuki pasaran tempatan dengan hebat, sekitar 2010 dahulu terdapat dua model segmen D yang boleh dimiliki. Passat atau Passat CC.

Namun Passat tidak bermula dengan posisi premium, 45 tahun dahulu ia hanyalah sebuah kereta hatchback kebanyakan.

Pertama kali dilancarkan pada tahun 1973, Passat sekarang ini dijual di semua benua dari Eropah hingga ke Asia. Sejak dari itu VW telah mengeluarkan lebih daripada 29 juta Passat melalui lapan generasi.

Pada tahun depan, Passat dijangka menjadi model pertama dalam segmennya memecahkan rekod jualan 30 juta unit.

Satu fakta yang menarik apabila Passat generasi pertama ditawarkan dalam bentuk badan hatchback dengan dua atau empat pintu.

Saiznya tidak besar, ukuran panjang ialah 4,190 mm dan hanya pendek sedikit berbanding SUV kompak T-Roc. Pada tahun 1974, VW mengeluarkan Passat Variant iaitu versi wagon untuk pelangan yang mahukan lebih ruang.

Berbanding Passat hari ini, ukuran panjang sudah berkembang kepada 4,887 mm. Passat juga dibina bagi memenuhi keperluan pengguna bisnes serta keluarga dan menjadi kereta penumpang bersaiz sederhana dan kereta bisnes paling berjaya di dunia.

Passat juga dikeluarkan dalam banyak varian mengikut pasaran di Eropah, China dan Amerika Syarikat di mana model ini salah satu produk penting buat VW.

Sempena ulangtahun ke-45 VW menawarkan Passat sama seperti dahulu, dua jenis badan iaitu sedan dan Variant (wagon). Kedua-dua versi ini bakal ditawarkan dengan teknologi model seperti PHEV.

VW sekarang ini sedang bersiap-sedia bagi mengeluarkan Passat B8.5 di kilang Emden, Jerman. Passat ini akan dilancarkan pada penghujung Januari 2019 dan bakal membawa Passat ke peringkat lebih tinggi.

Selain dilengkapi pelbagai teknologi moden, tugas VW untuk model ini ialah memecahkan rekod pengeluaran kumulatif sebanyak 30 juta unit 45 tahun selepas pertama kali dilancarkan.

VW sudah pun berjaya memecahkan rekod tersebut untuk Golf iaitu sebanyak 35 juta unit. Sebuah lagi model yang hangat sambutannya ialah Beetle yang dikeluarkan sebanyak 21.5 juta unit.

Ketiga-tiga model ini, Golf, Passat dan Beetle adalah tiga model paling berjaya dalam sejarah Volkswagen.

TONTON REBIU ABANG JAPAR TENTANG VW PASSAT B8: SEDAN VOLKSWAGEN – VENTO, JETTA & PASSAT B8

Google ads
Back to top button