Buletin

TAK PERLU GENTAR DENGAN PENGELUAR KERETA DARI CHINA – CEO VOLKSWAGEN

Pengeluar kereta dari China sememangnya menguasai kebanyakkan pasaran masa kini terutama menerusi kenderaan elektrik mereka.

Namun, baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen, Oliver Blume berkata, pengeluar China sukar untuk menawarkan harga begitu murah untuk pasaran Eropah.

Menurutnya, memang benar pengeluar China boleh menghasilkan pada kos 20 peratus lebih rendah, tetapi mereka tidak akan dapat menawarkan tahap kos itu di Eropah.

Pengeluar China perlu membelanjakan banyak wang untuk menyesuaikan kenderaan dengan peraturan Eropah serta membina rangkaian jualan.

Untuk rekod, harga kereta China yang ditawarkan di Eropah adalah dua kali lebih mahal berbanding di China.

“Pengeluar kereta China bukanlah ancaman bagi syarikat Eropah. Sejak dekad lalu, mereka telah mempelajari cara membina kereta, tetapi kami mempunyai pengetahuan kereta, tahap kualiti serta warisan jenama,” katanya.

“Melihat kos sebagai isu untuk portfolio elektrik VW, kami perlu bekerja keras mengurangkan kos, tetapi kami yakin boleh dikurangkan dengan cepat,” sambungnya lagi.

Berdasarkan kata-kata Blume, sehingga syarikat itu dapat mengurangkan kos dan menyelesaikan pembangunan portfolio elektriknya, Volkswagen kini bergantung pada model kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICEV) untuk membiayai peralihan.

Tidak seperti Nio atau BYD, pembuat kereta Jerman boleh bergantung pada wang dari segmen ICEV untuk peningkatan mobiliti elektrik tetapi jenama EV tulen tidak mempunyai pilihan itu, mereka perlu mencari pembiayaan.

Selain itu, Volkswagen juga menjalinkan kerjasama dengan pengeluar bateri China, Gotion, sekali gus mampu meliputi lebih 80 peratus portfolio VW menjelang 2030.

Pada Mei lalu, Gotion berkata mereka akan menghasilkan 10 GWh terner dan 10 GWh sel lithium-iron phosphate (LFP) bermula pada suku ini.

Sel itu dijangka menjadi bahagian standard Scalable System’s Platform (SSP) VW, satu platform yang sepatutnya, sama seperti sel, meliputi lebih 80 peratus daripada portfolio produk syarikat. Perkembangan semasa mengenai platform itu bagaimanapun tidak jelas setelah pertukaran Ketua Pegawai Eksekutif September tahun lepas.

Pembuat kereta Jerman itu berkata pelancaran projek yang dirancang untuk 2026 telah ditangguhkan kepada 2028 atau 2029, tetapi kemudian pada Jun tahun ini berkata mereka menyasarkan untuk 2026.

Garis masa pelancaran SSP turut dipersoalkan sekali lagi, apabila VW mengumumkan pembelian saham dalam pembuat EV China, Xpeng, sebagai pertukaran untuk seni bina elektronik dan elektrik SUV Xpeng, G9, yang jualannya merosot.

Bukan itu sahaja, Xpeng juga akan membantu syarikat Jerman itu membangunkan dua model baharu menjelang 2026.

Google ads
Back to top button