
APA BEZA VOLKSWAGEN R-LINE DENGAN VOLKSWAGEN R?
“Race in Sunday, sell on monday” ini adalah mantra yang digunakan oleh pengeluar kenderaan satu ketika dulu dengan menjadikan medan perlumbaan sebagai salah satu alat propaganda dalam menjual kenderaan mereka. Kenderaan yang menang dalam perlumbaan akan digambarkan serba serbi lebih baik daripada kenderaan pihak lawan
Jadi tidak hairanlah kebanyakan pengeluar kenderaan di seluruh dunia memiliki divisi khas perlumbaan samaada perlumbaan litar, rali dan apa sahaja perlumbaan yang sesuai dengan jenama mereka. Sebagai contoh Volkswagen memiliki satu divisi khas yang dinamakan sebagai Volkswagen Racing atau singkatannya Volkswagen R.
Jadi apabila jentera Volkswagen mulai mengusai litar perlumbaan, maka kebanyakan peminat akan meminta Volkswagen menghasilkan jentera dengan varian yang “sah secara undang-undang” untuk dipandu di atas jalan raya biasa. Varian ini akan datang dengan prestasi yang lebih baik berbanding dengan varian Normal yang lain
Jadi Volkswagen turut memperkenalkan satu lagi varian Golf yang diberi nama GTi bagi memenuhi tuntutan pelanggan yang mahukan varian yang lebih berkuasa, tapi pada pelanggan yang mahukan lebih prestasi berbanding GTI akan membeli varian Golf R Tapi varian ini mungkin menjadi terlalu ekstrim bagi kegunaan biasa sedangkan pemilik hanya mahukan gaya seperti sebuah jentera perlumbaan
Jadi Volkswagen memisahkan varian R dan juga memperkenalkan varian R-Line, dimana varian R (Racing) khusus untuk pemilik yang mahukan prestasi maksimum, manakala R-Line pula akan datang dengan gayaan luar seperti varian R tapi mengekalkan trenkuasa sama seperti varian yang biasa

Ia adalah strategi yang sama digunakan oleh Audi S-Line, Mercedes AMG-Line, BMW M-Sport yang ditawarkan dengan kemasan luar dan dalaman yang lebih sporti dan menggunakan trenkuasa enjin yang biasa. Tapi dari segi luaran anda akan melihat kemasan luar Volkswagen R-Line sebenarnya lebih mengiurkan dan nampak lebih sporti.
Biasanya R-Line akan menggunakan rekaan bampar depan serta belakang yang lebih agresif, rim yang lebih lebar dan besar yang diberikan kemasan dua tona berkilat, boot spoiler, side sills, side skirt, logo R-Line, kemasan krom ekzos pada bampar belakang dan kadangkala menerima sistem penyerap hentakan yang direndahkan sedikit berbanding varian biasa
Kemasan dalaman juga akan diubah dan dinaiktaraf dengan menawarkan lebih banyak aksesori yang menghasilkan suasana yang lebih mewah dan sporti seperti kusyen balutan kulit semi bucket, 3 mode pemanduan,penyerap hentakan adaptif yang boleh dikawal kekerasan, lampu kabin yang menyerlah, benang berwarna merah, sistem audio yang lebih baik seperti Harman Kardon, pedal aluminium serta door scuff plate aluminium dengan LED
Walaupun rekaan ini sebenarnya lebih kepada penggayaan dan aestatik semata-mata tanpa sebarang peningkatan dan naiktaraf pada prestasi jentera, ia sebenarnya menawarkan pakej yang lebih menarik dan serta bergaya berbanding dengan varian normal yang nampak lebih “kosong”.