
VOLKSWAGEN ID. GTI CONCEPT – GTI VERSI ELEKTRIK!
Volkswagen GTI sebuah siri yang mengujakan. Golf GTI dan Polo GTI diasaskan dari hatchback biasa dan menunjukkan versatiliti sebuah model harian yang ditransformasi kepada model berprestasi.
Memandangkan dunia automotif sekarang berada pada era elektrik, satu langkah yang tepat apabila Volkswagen mempertontonkan ID. GTI Concept.
Adakah model ini membayangkan Golf GTI atau Polo GTI? Volkswagen sudah mempunyai siri kenderaan elektrik ID. dan bakal memperkenalkan model mampu milik ID. 2all pada 2025.
Mampu milik merujuk kepada harga di bawah 25,000 euro (RM125,514) dan ID. GTI Concept ini pula diasaskan dari ID. 2all.
Di dalam akronim GTI, huruf I merujuk kepada Injection dan turut membawa maksud Intelligence dalam bentuk pemanduan berprestasi tinggi dan kepintaran casis.
Dari segi reka bentuk, ID. GTI Concept sememangnya mirip ID. 2all dan membawa legasi sebuah GTI dengan gaya sederhana dan tidak ekstrem.
Berada dalam segmen kompak, kereta ini berukuran 4,104 milimeter (mm) panjang, lebar 1,840 mm, tinggi 1,499 mm dan jarak roda 2,600 mm. Ruang simpanan belakang dari 490 hingga 1,330 liter.
Identiti GTI boleh dilihat pada jeriji radiator dengan riasan merah dan logo GTI. Lampu besar pula canggih dan terkini dengan teknologi IQ.LIGHT LED matrix.
Corak jeriji sarang lebah pada bahagian bawah bampar pula menampakkan sisi agresif ID. GTI Concept meneruskan identiti GTI sejak generasi kelima.
Bampar kereta lengkap dengan saluran udara untuk prestasi aerodinamik dan menyejukkan brek. Bampar depan juga mempunyai pemisah dan bukan sekadar direka untuk estetik.
Dari sisi, tiang C yang lebar menyerlahkan bentuk badan yang teguh selain bahu tingkap lurus. Skirt sisi dibuat seksi dan sebagai perkakasan aerodinamik.
Rim dengan corak unik merupakan identiti GTI dan ID. GTI Concept tidak terkecuali. VW menggunakan rim aloi saiz 20 inci dan tayar 245/35.
Spoiler bumbung tampil menarik dan terjemahan semula warisan Golf GTI Mk1 iaitu cermin belakang dengan bingkai hitam.
Spoiler dengan bilah hitam pada kedua-dua sisi menggantikan bingkai tersebut dan mempunyai bukaan dan tiang halus pada bahagian tengah ala GTI Clubsport,
Spoiler itu seperti biasa berfungsi untuk daya mendap dan mengurangkan gelora angin.
Bahagian belakang juga menarik dan menonjol dengan gugusan lampu dan peresap yang besar dalam warna hitam ala bampar Golf GTI Mk1.
Bahagian dalam ID. GTI Concept diserlahkan dengan skrin 12.9 inci pada papan pemuka yang ringkas. Skrin GTI Digital Cockpit untuk pemandu berukuran 10.9 inci. Turut dilengkapi sistem papar pandu.
Sebagai sebuah EV, ID. GTI Concept dilengkapi fungsi GTI Experience Control.
Pemandu boleh memilih karakteristik rangkaian kuasa dan juga melaras sistem pemanduan, stereng, bunyi kereta dan tukaran gear ala model bersejarah Golf GTI Mk1, Mk2 atau GTI 25th Anniversary.
Volkswagen tidak berkongsi butiran rangkaian kuasa ID. GTI Concept.
Sebagai rujukan, ID. 2all dibekalkan bateri dengan output 166 kilowatt (kW) (226 ps) dan jarak pemanduan hingga 450 kilometer (WLTP).
Pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) di bawah tujuh saat dan kelajuan maksimum 160 km/j.
Dipakaikan logo GTI, selamat untuk dikatakan ID. GTI Concept lebih berkuasa dan tangkas memecut.
Model berprestasi ini dirancang untuk berada di atas jalan raya pada 2027.
BACA: VOLKSWAGEN GOLF GTI 380, MODEL MANUAL TERAKHIR SEBELUM DIHENTIKAN!
BACA: VOLKSWAGEN PASSAT VARIANT 2024 DIPERKENAL, R LINE NAMPAK SEGAK!
BACA: APA BEZA VOLKSWAGEN R-LINE DENGAN VOLKSWAGEN R?

















