
LELAKI INI RAKAM VIDEO GELAGAT WANITA MAHU ISI MINYAK PADA TESLA MODEL 3
Seorang pemandu Tesla Model 3 dilapor berhenti di stesen minyak untuk ‘mengisi’ minyak, tanpa mengetahui keretanya itu merupakan sebuah kenderaan elektrik.
Berdasarkan video rakaman oleh seorang pengguna yang sedang menunggu giliran untuk mengisi minyak, pemandu wanita itu dilihat cuba untuk mengisi bahan api pada EV-nya itu dengan mencari-cari di mana letaknya corong pengisian minyak pada model Tesla tersebut.
Wanita itu kemudian meneruskan pencariannya dengan membuka hud hadapan untuk mengenalpasti lokasi corong pengisian minyak yang langsung tidak wujud pada Tesla Model 3.
Setelah seminit bercakap dengan rakannya, wanita itu kemudian berpusing ke belakang, sehinggakan lelaki yang merakam video ini kemudian masuk campur untuk memberitahu perkara sebenar di mana sebuah Tesla tidak memerlukan minyak gasolin untuk bergerak.
Malah, selepas lelaki itu menunjukkan lokasi sebenar di mana port pengecasan Tesla itu terletak, wanita itu masih lagi tidak menyedari hakikat sebenar dan terus mengangkat nozel untuk ‘mengisi minyak’.
Ia mungkin satu perkara yang agak kelakar untuk ditonton, namun ternyata masih lagi wujud pengguna yang masih belum sedar akan kehadiran kenderaan elektrik di atas muka bumi ini.