Buletin

TIADA ISU KETIRISAN, JUALAN DATA PERIBADI PELANGGAN -JPDP

Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) mengesahkan tiada isu ketirisan dan penjualan data peribadi pelanggan oleh Kumpulan AirAsia Bhd. kepada firma Amerika Syarikat seperti dilaporkan sebelum ini.

JPDP dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah menerima penjelasan daripada AirAsia berkaitan isu berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes menyatakan terdapat firma pemberi pinjaman Amerika Syarikat yang bersedia menawarkan pinjaman sehingga US$1 bilion (RM4 bilion) bagi perniagaan data syarikat penerbangan berkenaan.

Kenyataan itu sekali gus menimbulkan kebimbangan pelanggan AirAsia mengenai keselamatan data peribadi mereka.

“Pihak jabatan (JPDP) mengambil maklum bahawa tiada isu ketirisan dan penjualan data peribadi yang berlaku serta berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberikan oleh pihak AirAsia berkaitan isu tersebut,” katanya.

JPDP juga menegaskan bahawa penjualan data peribadi adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan pesalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – Bernama

Google ads
Back to top button