
AIRASIA LANCAR PENERBANGAN KOS RENDAH BAHARU DI KEMBOJA. MULA OPERASI AKHIR TAHUN INI
AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), cabang penerbangan Capital A Bhd telah menandatangani perjanjian usaha sama (JV) dengan Sivilai Asia untuk menubuhkan AirAsia Cambodia, syarikat penerbangan tambang rendah baharu di Kemboja.
Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan baharu itu akan mengukuhkan lagi jenama AirAsia di Kemboja dan Indochina untuk memberikan AirAsia akses yang lebih besar kepada pasaran domestik, selain menghubungkannya ke pasaran antarabangsa.
AirAsia Cambodia berhasrat untuk mengembangkan lagi industri penerbangan dan pelancongan Kemboja. Ini termasuk melancarkan destinasi baharu yang menarik, mewujudkan peluang pekerjaan serta menawarkan operasi kos rendah.

Tertakluk kepada kelulusan kawal selia yang berkaitan, JV itu dijangka mula beroperasi pada akhir 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata kumpulan itu terus memberi tumpuan kepada Asean kerana ia adalah langkah strategik untuk mengukuhkan lagi jenama AirAsia di rantau berkenaan.
“Memandangkan Kemboja adalah pasaran kami selain mempunyai infrastruktur yang bagus di sini, sebab itulah semua syarikat penerbangan masa depan kami akan berpangkalan di Asean.
“Memandangkan ini adalah kawasan yang kami fahami dengan baik serta boleh memperoleh keuntungan pantas, misi paling penting adalah untuk menghubungkan rangkaian kami ke titik utama Kemboja, iaitu Phnom Penh, Siem Reap dan Sihanoukville,” kata Fernandes.
AAAGL akan mengendalikan lima laluan ke Kemboja dari Kuala Lumpur ke Siem Reap dan Phnom Penh, dari Pulau Pinang ke Phnom Penh (bermula 3 Januari 2023) serta dari Bangkok (Don Mueang) ke Siem Reap dan Phnom Penh.