Buletin

MAZDA JUAL SEMUA PEGANGAN DALAM SYARIKAT JV RUSIA, NILAI 1 EURO SAHAJA

Mazda merupakan syarikat automotif terbaharu yang mengumumkan penamatan operasi di negara Rusia, susulan serangan negara itu ke atas Ukraine, Reuters melaporkan.

Dalam satu kenyataan, Mazda turut menjual kesemua 50 peratus pegangan yang ada di dalam syarikat kerjasama MSMR (Mazda Sollers Manufacturing Rus) bersama pengeluar Sollers dengan nilai 1 Euro.

Sama seperti apa yang dipraktikkan oleh pengeluar automotif lain, Mazda turut diberikan peluang untuk membeli semula kesemua 50 peratus pegangan itu dalam tempoh tiga tahun dengan nilai yang sama.

Menurut penyata kewangan terbaharu, Mazda mencatatkan kerugian besar berjumlah ¥12 bilion (RM393 bilion).

Mazda telah pun menghentikan penghantaran komponen kepada MSMR pada bulan Mac sebelum menamatkan operasi sepenuhnya sebulan selepas itu.

Perbincangan telah pun diadakan antara kedua belah pihak, namun Mazda “tidak menemukan jalan untuk memulakan semula perniagaan”.

Syarikat MSMR telah pun beroperasi di Vladivostok sejak Oktober 2012 dengan kapasiti produksi tahunan sebanyak 50,000 unit, dan produk-produk seperti CX-30, CX-5, CX-9 dan Mazda 6 sedan.

Tahun lalu, Mazda menguasai 1.8 peratus pasaran kereta di Rusia. – Reuters

Google ads
Back to top button