Buletin

EU HARAMKAN ILUMINASI SPIRIT OF ECSTACY PADA KERETA ROLLS-ROYCE. PENCEMARAN CAHAYA KATANYA…

Berita buruk untuk pemilik Rolls-Royce dan mereka yang baru merancang untuk membeli jentera mewah itu di negara-negara Kesatuan Eropah (EU). Ini kerana Rolls-Royce mengesahkan bahawa arca Spirit of Ecstacy pada hud yang menyala tidak lagi dibenarkan dipasang ketika ia dipandu. 

Rolls-Royce mula memperkenalkan iluminasi Spirit of Ecstacy pada model konsep elektrik 102EX pada tahun 2011. Pilihan itu ditawarkan pada model Phantom, Ghost generasi sebelum ini, Dawn, Wraith dan Cullinan. 

Selepas dihubungi oleh beberapa orang pemilik Rolls-Royce, akhbar The Daily Mail menghubungi  Rolls-Royce yang kemudian mengesahkan pilihan iluminasi itu tidak lagi ditawarkan bermula tahun 2019. 

Ia berikutan perubahan garis panduan oleh EU berkaitan lampu pada kereta bagi menangani masalah pencemaran cahaya. 

“Kami menghantar satu buletin kepada para pengedar pada Fabruari 2019 yang menyatakan kami tidak lagi menawarkan pilihan iluminasi Spirit of Ecstacy. Kami juga terpaksa memberitahu pelanggan bahawa iluminasi Spirit of Ecstacy perlu dinyahaktifkan.

“Kami kini dalam usaha untuk menawarkan pakej baharu seperti memberi pulangan penuh, menggantikan dengan Spirit of Ecstacy yang disadur perak atau pilihan-pilihan lain. Bukan salah kami yang menyebabkan ciri ini terpaksa ditarik balik,” jelas Rolls-Royce. 

Kenyataan tersebut dibuat kerana kereta yang mempunyai ciri iluminasi itu yang berharga £3,500 (RM18,750) perlu dibuang atau diganti.  

Google ads
Back to top button