AIR ASIA TERIMA ADUAN TERTINGGI PADA SEPARUH PERTAMA TAHUN 2022
AirAsia menerima paling banyak aduan di negara ini pada separuh pertama tahun ini, dedah Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) hari ini.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu menyumbang 42.1 peratus daripada semua aduan berkaitan penerbangan dalam tempoh itu, mendahului Malaysia Airlines (40.7 peratus) manakala Batik Air (7.9 peratus) menurut laporan Pengguna dwi-tahunan Mavcom terbitan ke-12 untuk separuh pertama 2022 (1H22).
Menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, sepanjang 1H22, sebanyak 1,251 aduan telah diajukan kepada Mavcom, dengan 99.1 peratus (1,240) aduan diterima mengenai syarikat penerbangan manakala 0.9 peratus (11) aduan berkaitan lapangan terbang.
Penjadualan semula, pembatalan penerbangan, dan tempahan tiket dalam talian menyumbang kepada 46.1% dari keseluruhan aduan.
Hasil semakan Mavcom, 87.9 peratus aduan diselesaikan oleh syarikat penerbangan dengan penyelesaian yang saksama dan memuaskan pelanggan.
Sebagai langkah proaktif, Mavcom sentiasa berhubung dengan penyedia perkhidmatan penerbangan bagi memastikan isu yang berkenaan dapat ditangani.
Pengerusi eksekutifnya, Saripuddin Kasim, mengesyorkan agar pelanggan menggunakan aplikasi mudah alih FlySmart untuk maklumat terkini tentang keperluan perjalanan udara global.
Laporan Pengguna untuk 1H22 juga menyediakan kemas kini tentang inisiatif berkaitan pengguna lain termasuk usaha Mavcom untuk mendidik dan memperkasakan pengguna melalui laman web FlySmart, halaman sosial dan aplikasi mudah alihnya.