" "
Buletin

KECILKAN OPERASI. AIRASIA BERHENTIKAN 111 KREW KABIN, 172 JURUTERBANG & 50 JURUTERA

Dalam usaha mengecilkan operasi, syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad dilapor akan menamatkan perkhidmatan 111 kru kabin daripada 1,900 kru, 172 juruterbang dan 50 juruteranya.

Pengumuman pemberhentian itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Riad Asmat dalam sesi taklimat bersama kakitangan syarikat berkenaan pada tengah hari semalam.

Semua individu yang akan terlibat dalam skim pemberhentian itu akan dimaklumkan menerusi e-mel dalam tempoh 24 jam. AirAsia Berhad juga menjanjikan pampasan kepada mereka.

Riad menyatakan situasi yang dihadapi AirAsia Berhad kini adalah amat sukar. Selain memberitahu semua langkah mengurangkan, memantau faktor dalaman dan luaran adalah tidak mencukupi.

Sumber Astro AWANI memaklumkan, Riad turut memohon maaf kepada kru AirAsia sambil menegaskan, syarikat tiada pilihan lain yang boleh diambil buat masa ini, selain melakukan penstrukturan semula organisasi.

Pada masa sama, Riad tidak dapat memberi jaminan tempoh syarikat itu akan kembali normal seperti sebelum ini. Pemberhentian tenaga kerja tidak hanya dilaksanakan oleh AirAsia Berhad, malah turut melibatkan semua bahagian di bawah Kumpulan AirAsia.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada akan berlaku pengurangan gaji ke atas tenaga kerja yang tidak diberhentikan.

Dalam perkembangan berasingan, AirAsia X (AAX) turut mengumumkan pengurangan tenaga kerja melibatkan tenaga kerja Malaysia dan asing. Namun jumlah sebenar tidak diumumkan di dalam sesi taklimat yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail.

Pemberhentian itu dijangka melibatkan tenaga kerja setiap sektor termasuk operasi, pengurusan, kru dan juruterbang.

Menurut sumber yang menyertai sesi berkenaan, AAX akan beroperasi menggunakan sekitar 15 ke 16 pesawat apabila sektor antarabangsa dibuka semula. AAX kini memiliki 32 buah pesawat.

Sesi tersebut turut menjelaskan bayaran bonus dan insentif akan dimansuhkan. Tetapi bayaran gaji pokok akan dikekalkan termasuk elaun penerbangan, sektor dan bermalam. – Astro Awani

Google ads
Back to top button