Buletin

AIRASIA SELESAI 99 PERATUS TUNTUTAN BAYARAN BALIK

AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) menyelesaikan lebih 99 peratus pertanyaan tetamu/pelanggan berkenaan permintaan bayaran balik yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Bo Lingam, berkata syarikat penerbangan itu menerima jumlah pertanyaan yang amat tinggi dengan purata kira-kira 200,000 setiap hari semasa tempoh puncak.

“Kami berhubung dengan lebih lima juta tetamu sejak pandemik bermula dan menyelesaikan sebahagian besar permintaan mereka berkaitan penerbangan yang dibatalkan dengan memberikan kembalian dalam bentuk akaun kredit, bayaran balik tunai atau penukaran penerbangan.

“Bagi semua syarikat penerbangan bawah AAAGL, kami setakat ini memberikan kembalian kepada lebih tiga juta tempahan tiket, sama ada dalam bentuk bayaran balik tunai ataupun akaun kredit.

Secara keseluruhan kami menerima permintaan untuk bayaran balik sebanyak AS$1.8 bilion (RM7.6 bilion) daripada tetamu sejak 2020,” katanya dalam satu kenyataan.

Daripada jumlah permintaan bayaran balik tunai, lebih 99 peratus daripadanya berjaya diselesaikan dengan hanya AS$14.66 juta (RM61.9 juta) atau 0.8 peratus masih dalam proses pembayaran dan ia dijangka selesai dalam beberapa bulan sahaja lagi, tambah beliau.

Menurut Bo, sebahagian besar tetamu memilih akaun kredit yang diproses serta-merta dan sah sehingga dua tahun untuk tempahan daripada tarikh dikeluarkan.

Beliau berkata, dengan penyambungan semula penerbangan domestik dan pembukaan semula sempadan di kebanyakan pasaran utamanya, kira-kira 88 peratus daripada akaun kredit yang dikeluarkan digunakan, menandakan keinginan dan keyakinan yang kukuh terhadap perjalanan udara dalam kalangan orang ramai. – BERNAMA

Google ads
Back to top button