" "
Buletin

TIGUAN ALLSPACE KINI HADIR DENGAN CIRI IQ.DRIVE – HARGA BERMULA RM165K

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM)  mengumumkan bahawa rangkaian model #SUVM Tiguan Allspace kini hadir dengan ciri IQ.DRIVE.

SUV yang ditawarkan dalam tiga varian itu (R-Line 4MOTION, Elegance, Life) dilengkapi pelbagai ciri IQ.DRIVE antaranya Bantuan Hadapan, Kawalan Jelajah Adaptif, Bantuan Sisi, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Bantuan Lorong.

Sementara, ruang dalaman untuk ketiga-tiga varian pula dimuatkan kelengkapan seperti Digital Cockpit dan sistem infotainment bersaiz 9.2-inci Discover Pro bersama App-Connect tanpa wayar.

Ciri-ciri standard lain termasuklah:

  • Sistem pendingin hawa 3 zon ‘Air Care Climatronic’
  • Pintu belakang elektrik
  • Kamera undur multi-pandangan
  • USB-C
  • Soket pengecas
  • Ketersambungan aplikasi tanpa wayar (Apple CarPlay, Android Auto)
  • Arahan suara
  • Sistem audio digital Harman Kardon 480W

Untuk rekod, kesemua tiga varian tersebut didatangkan dalam lima warna luaran iaitu kelabu (Platinum Grey), perak (Pyrite Silver), putih (Oryx White), biru (Atlantic Blue) dan hitam (Deep Black).

Model teratas Tiguan Allspace R-Line merupakan sebuah SUV berprestasi tinggi, dikuasakan oleh enjin 2.0TSI turbo, menghasilkan 216hp dan tork 350Nm. Nadi itu dipadankan bersama  transmisi DSG 7-kelajuan.

Tiguan Allspace Elegance dan Allspace Life pula dilengkapi enjin 1.4TSI turbo, berupaya menjana kuasa 148hp, tork 250Nm dan menerima kotak gear DSG 6-kelajuan. Kombinasi itu menjanjikan penjimatan bahan api sekitar 7.7L/100km.

Ketiga-tiga varian ditawarkan dengan Pakej Jaminan Volkswagen (VAP) yang memberikan pelanggan jaminan lanjutan tanpa had perbatuan dan penyelenggaraan selama 3 tahun.

Bergantung kepada model terpilih, VAP adalah bernilai dari RM8,000 hingga RM10,000 manakala bagi pelanggan tidak membeli pakej jaminan itu akan menerima jaminan tanpa had perbatuan selama 2 tahun dan bantuan tepi jalan untuk 5 tahun.

Untuk harga, anda boleh memiliki keluarga Tiguan Allspace baharu pada harga bermula RM165,990 hingga RM245,990 (tidak termasuk VAP).

Google ads
Back to top button