Buletin

BYD SEALION 7 TIBA DI PASARAN MALAYSIA TAK LAMA LAGI?

Pasaran SUV elektrik di Malaysia bakal meriah dengan kehadiran BYD Sealion 7, yang dijangka dilancarkan dalam masa terdekat.

BYD Cars Malaysia baru-baru ini mengumumkan kehadiran model SUV berprestasi baharu melalui laman Facebook rasmi mereka, dan semua petunjuk menunjukkan bahawa model tersebut ialah BYD Sealion 7.

Model ini pertama kali diperkenalkan di China sebagai BYD Sealion 07 EV semasa Beijing Auto Show pada April tahun ini, dan telah memasuki pasaran Eropah serta Hong Kong di bawah nama Sealion 7.

BYD Sealion 7 ialah SUV elektrik sepenuhnya dengan rekaan bumbung coupe yang menarik dan elemen reka bentuk diambil dari model BYD Seal.

SUV ini ditawarkan dengan dua jenis platform e-Platform 3.0 – satu berasaskan 400V dan satu lagi versi lebih canggih iaitu 800V e-Platform 3.0 Evo yang menyokong pengecasan DC pantas sehingga 240kW.

Dari segi dimensi, Sealion 7 mempunyai panjang 4,830mm, lebar 1,925mm, dan tinggi 1,620mm dengan jarak antara roda 2,930mm, menjadikannya sedikit lebih besar daripada model BYD Seal.

Semua varian Sealion 7 dilengkapi dengan rim bersaiz 19-inci, manakala varian AWD dilengkapi roda 20-inci.

Di China, Sealion 7 ditawarkan dalam tiga varian:

1. Varian Asas RWD: Enjin tunggal dengan kuasa 228hp dan bateri 71.8kWh, mencapai kelajuan 0-100km/j dalam masa 7.3 saat.

2. Varian Long Range RWD: Enjin tunggal dengan kuasa lebih tinggi 308hp bersama bateri 80.64kWh, mempunyai daya pecutan 6.7 saat dan mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 610km.

3. Varian AWD: Dilengkapi dua motor yang memberikan gabungan kuasa 523hp dengan bateri 80.64kWh.

Varian ini mampu mencapai 0-100km/j dalam masa 4.2 saat dan jarak perjalanan maksimum sehingga 550km mengikut penilaian CLTC.

Untuk model Eropah, BYD Sealion 7 didatangkan dengan pilihan bateri yang lebih besar, iaitu 91.3kWh, yang meningkatkan jarak perjalanan dan kecekapan pengecasan.

Untuk pengecasan, BYD Sealion 7 menawarkan kelajuan pengecasan pantas yang boleh mengecas dari 10 peratus hingga 80 peratus dalam hanya 25 minit.

Dengan platform 3.0 Evo, masa pengecasan dari 80 peratus hingga 100 peratus hanya menelan masa  18 minit sahaja.

Di China, Sealion 7 dijual pada harga bermula sekitar RM116,813 untuk model asas RWD, dan hingga sekitar RM147,586 bagi model AWD.

Di Malaysia, harga dijangka bermula di bawah RM200,000, menjadikannya pesaing berpotensi kepada Tesla Model Y.

Google ads
Back to top button