Artikel Pilihan

BRABUS BIG BOY 1200 – RV PALING SESUAI UNTUK KETUA MAFIA

Ada kenderaan yang direka untuk membawa kita dari titik A ke titik B tapi ada juga yang lebih kepada untuk bersantai-santai dan bersendiri jauh dari kesibukan kota. Brabus mempunyai model RV yang dinamakan Big Boy 1200 khusus untuk individu yang berkuasa, kacak dan kaya dengan angan-angan macam abang. Ia boleh berfungsi sebagai sebuah kondo mewah, pusat kawalan dan kabin peribadi jika anda ingin bersendirian.

RV ini menggunakan chasis Mercedes-Benz Actros dan menawarkan ruang dalaman dengan keluasan melebihi 30 meter persegi. Ya, cukup besar tuan-tuan untuk sebuah RV. Kena ingat benda mewah dan kuasa mesti datang dalam saiz yang besar. Motorhome ini adalah hasil kerjasama Brabus dan syarikat Belgium, STX Motorhomes.

Dilihat dari luar RV ini kelihatan seperti blok berwarna hitam yang kelihatan macam ibupejabat pasukan perisik. Hanya lampu-lampu LED yang membolehkan ianya dilihat di waktu malam sekaligus mendedahkan panel-panel yang dihasilkan dari serat karbon dan aluminium komposit berwarna hitam.

RV ini mempunyai panjang 12 meter, lebar 2.5 meter dan ketinggian 4 meter. Kalau pakir Cybertruck kat sebelah nescaya ia akan kelihatan seperti kereta mainan. Nampak kecil ke? Itu sebelum bahagian-bahagian tertentu dilancarkan keluar. Ia dilakukan sebaik sahaja kedudukan RV ini diperkuatkan dengan jek-jek berkuasa hidraulik.

Masuk sahaja ke dalam memang dah rasa macam masuk ke studio mewah. Melangkah masuk ke ruang rehat mewah yang memanjang ke bilik tidur. Terdapat katil kembar yang selesa, dua buah sofa dan satu lagi katil bujang berhampiran kokpit. Cukup la untuk berehat dalam perjalanan jauh.

Bilik mandi mewahnya dihiasi dengan lapisan batuan asli lengkap dengan pancuran, tandas dan sink. Dapur takk payah cerita la. Cukup lengkap dengan oven, penyedut asap, peti sejuk, mesin kopi, mesin basuh pinggan mangkuk dan macam-macam lagi. Tinggal rajin dengan tidak je nak masak.

Masalah perhubungan bukan masalah untuk Big Boy 1200 ini dengan kelengkapan cakera satelit Starlink dan router Wi-Fi. Pergi ceruk mana pun dijamin boleh berhubung lagi dengan betara guru kat rumah.

Nak berhibur? Macam mana dengan TV 4K bersaiz 43 inci, konsol PS5 dan sistem audio kayangan. Memang silap-silap tak nak balik terus.

Oleh sebab ia dihasilkan oleh Brabus semestinya elemen kulit terbaik dan Alcantara menjadi pilihan untuk kemasan dalaman. Ia diselang selikan dengan elemen serta karbon membuatkkannya lebih elegan.

Punca kuasa? Jangan bimbang kerana terdapat 8 panel solar pada bahagian bumbung RV ini dan pek bateri bersaiz besar siap dengan generator sokongan. Nak masuk kawasan pedalaman Gua Musang seminggu pun okey ni. Ia juga mempunyai tangki air yang besar untuk bekalan air bersih. Tangki buangan pun ada sekali. Tak nak main sepah-sepah merata air buangan tu.

RV ini menggunakan enjin 12.8 liter turbodisel yang mampu menghasilkan 530 PS kuasa maksima dengan tork mencecah 2,600 Nm. Itu memang standard Brabus sebenarnya. Cuma kelajuan maksimanya dihadkan pada 90 kmj. Ye la, RV ni bukannya kereta sport. Nak laju beli Myvi la.

Nak beli ke? Harga sebelum cukainya adalah lebih kurang RM6 juta lebih. Alah ada duit banyak-banyak bukan boleh bawa mati. Beli je RV ni dah pandulah ke masa sahaja sesuka hati anda. Dah puas nanti bagi la kami cuba pulak.

Google ads
Back to top button