MERCEDES-AMG SL63 4MATIC+ RASMI DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM1.8 JUTA
Mercedes-Benz Malaysia secara rasmi melancarkan Mercedes-AMG SL63 4MATIC+ ke pasaran tempatan, ditawarkan pada harga RM1,898,888 atas jalan tanpa insuran.
Dari segi penggayaan, SL63 menampilkan bampar depan beralun sisi besar, bampar belakang dilengkapi liang udara sisi, diffuser bersama tip ekzos berbentuk segi serta diserlahkan lagi melalui rim forged AMG 10-jejari bersaiz 21-inci dan sistem brek AMG dengan angkup berwarna kuning.
Perincian standard lain termasuk AMG Night Package, AMG Exterior Carbon Package, serta lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus untuk pencahayaan optimum.
Selain itu, Mercedes-AMG SL63 4MATIC+ turut dilengkapi bumbung fabrik yang boleh dibuka sepenuhnya dalam masa 15 saat dan berfungsi pada kelajuan sehingga 60 km/j.
Perincian lain termasuklah menawarkan dua tempat duduk tambahan di belakang, menjadikannya pilihan lebih praktikal.
Menjengah dalam kabin, ia menerima kelengkapan seperti Sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan skrin 11.9-inci, tempat duduk AMG Performance berlapik kulit Nappa, pelapik bumbung Manufaktur gentian mikro Microcut hitam, trim gentian karbon AMG, dan roda stereng AMG Performance.
Beralih pada kuasa pula, Mercedes-AMG SL63 4MATIC+ dikuasakan oleh enjin V8 4.0 liter turbo berkembar M177, menghasilkan 585PS dan tork maksimum 800Nm.
Nadi berkenaan dipadankan bersama sistem hibrid plug-in (PHEV) dengan enjin 2.0 liter empat silinder, dengan transmisi AMG Speedshift MCT 9-kelajuan serta sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+.
Mercedes-AMG SL63 4MATIC+ turut hadir dengan pakej AMG Dynamic Plus sebagai standard, termasuk LSD elektronik AMG di gandar belakang, cagak enjin dinamik, dan mod pemanduan ‘Race’.
Sistem suspensi adaptif AMG Active Ride Control turut dipasang bersama sistem anti-oleng aktif dan stereng roda belakang yang boleh berputar sehingga 2.5 darjah, sementara Pakej Driving Assistance memastikan pemanduan lebih selamat dan mudah.
Seperti dinyatakan di atas, Mercedes-AMG SL63 4MATIC+ ditawarkan pada harga bermula RM1,898,888 atas jalan tanpa insuran.
GALERI:
- BACA: KERETA LANGGAR PEMBAHAGI TOL, DUA WARGA EMAS MAUT
- BACA: JAECOO PAMERKAN SUV COUPE C9: TARIKAN BAHARU UNTUK PEMINAT SUV DI MALAYSIA
- BACA: JOM SERTAI YEAR END SALE GOCAR CUBA BELI: PELUANG HEBAT MILIKI KERETA IDAMAN!
- BACA: MERCEDES-AMG G63 FACELIFT DILANCARKAN, JANA 585HP – HARGA BERMULA RM1.9 JUTA