Buletin

TOYOTA PRIUS 2023 HABIS DIJUAL DALAM MASA SEHARI DI JEPUN. PENYERAHAN AMBIL MASA SELAMA SETAHUN

Jika anda fikir permintaan untuk kenderaan elektrik hibrid mula berkurangan, fikirkan semula kerana Toyota Prius 2023 serba baharu telah habis dijual hanya dalam masa satu hari di Jepun.

Prius serba baharu itu dilancarkan di Jepun pada 16 November 2022. Tidak seperti model sebelumnya, Prius 2023 tampil dengan imej “reka bentuk seperti hammerhead-shark” dan bahagian belakang yang menarik.

Model 1.8 liter adalah paling jimat bahan api dengan jarak sehingga 32.6km/l. Sebagai perbandingan, model 2.0 liter dinilai pada 28.6 km/L, tetapi model 2.0 liter lebih berkuasa kerana mampu menghamburkan kuasa sebanyak 193hp. Kedua-dua Prius 1.8 dan 2.0 menggunakan pek bateri 4.08Ah.

Tetapi, pembeli harus bersabar terlebih dahulu untuk merasai pengalaman memandu Prius kerana sudah ada senarai menunggu selama 12 bulan untuk model Prius 2.0 liter. Manakala mereka yang mahukan model 1.8 liter perlu menunggu sekurang-kurangnya enam bulan.

Situasi tersebut sama seperti yang dihadapi di Amerika Syarikat apabila pembeli di sana terpaksa menunggu sehingga setahun sebelum kunci berada di tangan mereka.

Menurut jurucakap Toyota, kilang pengeluar kereta Jepun di Tsutsumi, pengeluar tunggal Prius, sedang menghadapi masalah rantaian bekalan dan kekurangan cip semikonduktor.

Walau bagaimanapun, sekiranya keadaan bekalan bertambah baik, rancangan pengeluaran serta peruntukan peniaga akan disemak dengan sewajarnya dan pesanan mungkin dibuka semula.

Toyota turut mengumumkan bahawa Hibrid plug-in akan diperkenalkan, namun butiran untuk varian itu hanya akan diumumkan pada Mac 2023. Ia dijangka mampu menawarkan kuasa 219hp dan pecutan 0-100km/j dalam masa 6.7 saat. – Wapcar

Google ads
Back to top button