Artikel Pilihan

TOYOTA PRIUS 2020 MASUK RALI. FUH BOLEH KE?

Kebiasaanya bila kita sebut kereta rali, model yang akan digunakan ialah Toyota GR Yaris ataupun Hyundai i20N. Tidak pernah sama sekali kita terfikir yang sebuah model yang dibangunkan khusus untuk mengawal pencemaran asap digunakan sebagai jentera rali. Kalau kita belasah Prius di litar rali, mungkin orang kata kita sudah tidak waras

Namun jangan terkejut kerana Andrew Krok seorang editor di CNET telah berlumba dengan sebuah Toyota Prius dalam kategori Exhibition di American Rally Association. Disebabkan penganjur tidak tahu kategori Toyota Prius ini boleh dikelaskan, maka ia diletakkan sebagai Exhibition

Sama seperti jentera rali moden, bahagian dalaman Prius ditogelkan terus dengan menyingkirkan semua komponen yabng tidak perlu bagi mengurangkan berat bermula dari papan pemuka sehinggalah kepada bahan kedap bunyi. Cermin depan digantikan dengan plexiglass untuk mengurangkan berat dan roll cage dengan spesifikasi FIA

Tempat duduk pemandu dan co-driver pula digantikan dengan kusyen bucket perlumbaan, tali pinggang keselamatan 6 poin dan skup ambilan udara di bahagian bumbung untuk membenarkan udara sejuk masuk. Hanya paparan meter asal dan unit kawalan transmisi asal Prius sahaja dikekalkan

Disebabkan Prius bukanlah sebuah model yang didedikasikan sebagai model perlumbaan, maka proses mencari komponen agak mencabar sebenarnya. Bahagian depan dan belakang suspensi Prius menggunakan penyerap hentak RAV4 TRD , manakala spring depan menggunakan spring Camry dan spring belakang menggunakan Avalon TRD

Rim asal bersaiz 15inci dikekalkan bersama-sama dengan sistem brek. Hanya pad brek sahaja dinaiktaraf dengan pad prestasi tinggi. Tayar berjenama Cooper dengan saiz 195/65 R15 digunakan sebagai tayar perlumbaan. Enjin 2ZR FXE 1800cc kitaran Atkinson yang dipadankan dengan sistem hibrid elektrik serta roda belakang dengan motor elektrik berkuasa 71 kuasa kuda dikekal bagi menghasilkan sistem AWD.

Sistem ini menjana sekitar 121 kuasa kuda saja dengan padanan transmisi eCVT. Nampak saja biasa, namun Prius ini menunjukkan aksi yang cemerlang ketika rali. Walaupun Prius menggunakan sistem AWD yang dihasilkan oleh motor elektrik pada gandar belakang, namun dinamik pengendaliannya lebih kepada kenderaan pacuan depan

Andrew masih boleh melakukan power slider oversteer dengan menggunakan momentum kenderaan di atas lumpur dan juga salji. Dengan bantuan tayar Cooper, Prius ini boleh membrek, menuju ke selekoh dengan tepat serta memecut pada arah yang diinginkan dengan pantas. Tapi tidaklah sepantas jentera berkuasa 300 kuasa kuda.

Buat masa ini, jurutera Toyota masih belum berani menaikkan kuasa sistem menjadi lebih tinggi melainkan mereka menaiktaraf sistem penyejukan terlebih dahulu. Menjelang tahun 2022 hingga 2024, 3 jenama utama iaitu Toyota Hyundai dan Ford yang bertanding pada kejuaraan rali WRC memberi komitmen untuk menggunakan sistem hibrid ketika perlumbaan rali

Google ads
Back to top button