Buletin

MODUS OPERANDI BAHARU – CURI KERETA SEWA DAN JUAL DENGAN HARGA MURAH. HATI-HATI!

Pencuri kereta kini mula melakukan perbuatan jenayah mereka dengan cara mudah iaitu hanya bermodalkan bayaran untuk menyewa kereta mewah, kemudian melumpuhkan sistem GPS. Kereta curi tersebut tidak hanya dijual di dalam negara, malah ke negara jiran Thailand.

Salah satu faktor cara itu diguna pakai adalah pencuri kereta mengetahui modus operandi tersebut tidak termaktub dalam perundangan Malaysia. Maka, ia dilihat sebagai cara mudah mendapatkan wang haram tanpa perlu ke penjara.

Kebanyakan mangsa ialah syarikat besar dan penyedia perkhidmatan sewa kereta berasaskan aplikasi. Menurut mangsa, kes kecurian seperti itu tidak dianggap sebagai jenayah apabila mereka membuat laporan.

Gambar sekadar hiasan

Sebaliknya, mereka diberitahu untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap “penyewa” kerana “melanggar kontrak”.

Melalui laporan The Star, kenderaan yang dicuri akan dijual pada harga serendah di antara RM3,000 hingga RM70,000. Antara model menjadi ‘barang panas’ ialah Toyota Vellfire, Ford Ranger, Toyota Hilux, Proton Wira dan Perodua Myvi.

Mangsa yang ingin mendapatkan semula kenderaan akan diminta membayar sekitar RM5,000 hingga RM10,000, atau boleh membida kereta mereka.

Seorang mangsa, dikenali sebagai Nasrul, berusia 37 tahun mendakwa bahawa kereta Toyota Hiace miliknya yang dicuri sedang diiklankan di platform atas talian. Tambahnya, lebih merisaukan ialah beberapa sindiket itu dipercayai boleh memberikan geran untuk kenderaan tersebut.

Dengan memberikan geran palsu, hanya pihak berkuasa boleh menyemak dan membandingkan nombor casis pada dokumen dengan yang tertanam dalam enjin kereta.

“Kereta mewah mempunyai nombor casis di bawah enjin, jadi sukar bagi pihak berkuasa untuk memeriksa semasa sekatan jalan raya, jadi pembeli tidak berasa takut. Malah mereka boleh berkeliaran dengan bebas,” kata seorang lagi mangsa yang enggan dikenali.

Kereta JT atau Jual Terus (jualan langsung), Kereta Piang atau Piang Lari Bank (kereta dengan pinjaman tertunggak) dan Kereta Murah (kereta murah), hanyalah sebahagian daripada banyak nama yang digunakan oleh sindiket ini untuk menyembunyikan status sebenar kenderaan tersebut. – The Star

Google ads
Back to top button