Buletin

TOYOTA PRIUS GENERASI KELIMA LEBIH DINAMIK, 2.0L PHEV 220HP, 2.0L HIBRID 193HP

Toyota Prius generasi kelima baru sahaja diperkenalkan di Jepun, beberapa jam sebelum pelancaran varian Amerika Utara.

Toyota menjadikan model Prius 2023 ini jauh lebih menarik dari segi visual berbanding generasi sebelumnya dengan lebih dinamik dan lebih lapang. Penambahbaikan ketara juga telah dibuat pada rangkaian kuasa hibrid plug-in.

Toyota Prius 2023 menggunakan platform TNGA generasi kedua Toyota. Menurut Toyota, platform TNGA generasi kedua menghasilkan responsif yang lebih baik semasa membelok dan memberi lebih kestabilan.

Dari segi visual, terdapat persamaan dengan rangkaian model Crown baharu, terutamanya bahagian lampu hadapan LED. Toyota telah melakukan perubahan pada jarak roda, yang lebih panjang selain pusat graviti lebih rendah serta menggunakan rim 19 inci untuk standard.

Di dalam kabin, sekilas pandang, ia mirip dengan susun atur papan pemuka model crossover bZ4X. Konsol tengahnya seperti lazimnya dihiasi dengan paparan infotainment 12.3 inci yang terapung, manakala butang kawalan fizikal diletakkan pada penjuru bawah sebelah kanan. Kemudian, di bawah bolong udara, terdapat unit kawalan pendingin hawa jenis digital.

Selain itu, Toyota menampilkan sistem amaran bercahaya untuk Prius 2023. Ia tidak hanya mengeluarkan cahaya ambien tetapi turut menghubungkan dengan sistem Toyota Safety Sense untuk memberi amaran kepada pemandu sekiranya terdapat objek dikesan pada jarak berdekatan.

Sistem Toyota Teammate dan Advanced Park juga didatangkan secara standard. Fungsi jauh ini membolehkan kereta dikawal dari jauh melalui aplikasi telefon pintar apabila meletakkan kereta di tempat letak kereta.

Pelbagai ciri keselamatan disertakan dengan 2023 Prius. Ini termasuk versi terkini Toyota Safety Sense seperti monocular camera, rear-facing camera untuk Digital Inner Mirror dan perakam pemacu dalam kenderaan.

Terdapat dua rangkaian kuasa telah diumumkan di Jepun. Pertama, ia menggabungkan enjin empat silinder Dynamic Force 2.0 liter, motor elektrik dan bateri lithium-ion untuk menghasilkan output 220Hp. Toyota mendakwa bahawa ia mempunyai jarak tempuh 50 peratus lebih baik berbanding generasi sebelumnya.

Penjana kuasa kedua adalah dikuasakan oleh Toyota Series Parallel Hybrid System yang tersedia dalam samaran 1.8 liter dan 2.0 liter yang menghasilkan output 193Hp. Model ini juga menampilkan sistem pacuan semua roda E-Four untuk memberikan prestasi lebih baik pada permukaan jalan geseran rendah dan kestabilan lebih baik semasa selekoh.

Prius baharu ini juga didatangkan dengan dua alur kuasa aksesori AC 100 volt, 1.5 kW. Satu di bahagian belakang konsol tengah dan satu lagi di ruang kargo.

Pengguna boleh memilih mod bekalan kuasa luaran BEV, yang menggunakan kuasa daripada bateri sahaja tanpa perlu menghidupkan enjin, atau mod bekalan kuasa luaran HEV, dengan mengecas semula bateri daripada enjin jika baki kuasa terlalu rendah.

Ia dilengkapkan lagi dengan sistem pengecasan solar bagi membolehkan pemanduan sehingga 1,250 km setahun. Sistem ini juga membekalkan elektrik untuk penyaman udara dan fungsi lain.

Walau bagaimanapun, tiada maklumat mengenai harga dinyatakan tetapi model HEV akan dilancarkan pada musim sejuk tahun ini, manakala model PHEV akan mula dijual pada musim bunga 2023.

GALERI:

Google ads
Back to top button