
TAK BUANG MASA, MODELLISTA HASILKAN BODYKIT TOYOTA PRIUS 2023 YANG LEBIH GARANG
Berita gembira untuk anda yang kurang berminat dengan reka bentuk Toyota Prius serba baharu kerana pakar talaan jentera Toyota dan Lexus, Modellista sedang membangunkan kit badan lebih agresif.
Ini hanya pratonton katalog, jadi imejnya tidaklah begitu terperinci seperti yang kita mahukan. Namun, ia masih dapat memberi kita gambaran yang agak jelas tentang penambahan reka bentuk model hibrid berkenaan.
Sama seperti konfigurasi sedan Crown, bahagian hadapan yang direka semula menjadikan Prius kelihatan seperti Ridge Racer kerana Neo Advance Style menggunakan corong kemasukan udara dengan kemasan aksen biru pada bahagian hujungnya.

Spoiler bawah masih mengekalkan lampu kabus, tetapi telah dibentuk semula untuk kelihatan lebih robotik.
Untuk ubah suai luaran, Modellista mengetengahkan rekaan `Elegant Ice Style’ yang lebih halus dengan memanjangkan spoiler hadapan dan bampar belakang bersama alur keluar ekzos palsu.
Bahagian belakang tidak menerima banyak perubahan, tetapi bampar bawah telah dikonfigurasikan semula dengan skirting yang menampilkan diffuser dan roda aloi lebih agresif.

Dengan gayaan baharu itu, Prius kelihatan seperti sebuah kereta berkelajuan tinggi namun hakikatnya jentera hibbrid tersebut hanya memiliki prestasi sederhana. Aspek rangkaian kuasa atau chasis langsung tidak menerima sebarang talaan.
Prius masih mengekalkan enjin empat silinder 2.0 liter kitaran Atkinson yang dipadankan bersama kotak gear CVT. Prius Prime PHEV mendapat output kuasa 220hp, yang mampu mencapai masa 0-100km/j dalam masa cuma 6.6 saat.
Prius standard yang dipasang dengan sistem pacuan roda hadapan mampu menjana kuasa sehingga 194hp, manakala varian pacuan semua roda pula berkuasa 196hp.
Jentera berkenaan dijangka tiba di pasaran Jepun separuh pertama tahun depan.
- BACA: TOYOTA LAND CRUISER 2022 TERIMA BODYKIT BAHARU DARIPADA MODELLISTA
- BACA: TOYOTA PRIUS GENERASI KELIMA LEBIH DINAMIK, 2.0L PHEV 220HP, 2.0L HIBRID 193HP
- BACA: TOYOTA LANCAR PRIUS GENERASI BAHARU DI EROPAH, TRENKUASA PHEV 220HP
- BACA: PEMANDU TOYOTA PRIUS KENA SAMAN. PASANG PIRING SATELIT ATAS BONET NAK DAPAT SAMBUNGAN INTERNET