Buletin

TQ WULING PORTA EV DILANCAR – HARGA BERMULA RM99,800

TQ WULING melancarkan Porta EV, van komersial elektrik yang dibangunkan untuk membantu perniagaan mengurangkan kos operasi, khususnya dalam sektor penghantaran dan logistik.

Ditawarkan dengan jarak perjalanan 300km dan 400km berdasarkan kitaran CLTC, Porta EV mempunyai ruang kargo sehingga 6.5 meter padu serta muatan maksimum 1,105kg bagi varian 400km.

Harga bermula RM99,800 bagi varian 300km dan RM105,800 untuk varian 400km di Semenanjung Malaysia.

Di Malaysia Timur, harga masing-masing ialah RM102,800 dan RM108,800. Harga varian 300km masih berupa anggaran. Semua harga adalah atas jalan bagi pendaftaran atas nama syarikat, tidak termasuk insurans.

Porta EV menggunakan motor elektrik silikon karbida (SiC) berkuasa 75kW dengan tork 180Nm. Sistem bateri MAGIC EV WULING pula direka dengan struktur modular bagi memudahkan pembaikan dan penggantian sel bateri apabila diperlukan.

Pengecasan pantas DC dari 30 hingga 80 peratus mengambil masa 20 minit bagi varian 400km dan 30 minit untuk varian 300km. Pengecasan AC dari 20 hingga 80 peratus masing-masing mengambil masa 6.75 jam dan 5.15 jam.

Dari segi praktikaliti, van ini dilengkapi pintu gelangsar sisi serta pintu belakang jenis barn door yang boleh dibuka sehingga 270 darjah. Ketinggian lantai pemuatan 595mm turut memudahkan urusan memuat dan menurunkan barangan.

TQ WULING mendakwa kos penyelenggaraan sepanjang lima tahun adalah kurang daripada RM2,000, dengan penjimatan hampir 65 peratus berbanding van komersial diesel konvensional. Servis berkala ditetapkan setiap enam bulan atau 10,000km, mengikut mana-mana yang terdahulu.

Ciri keselamatan merangkumi dua beg udara hadapan, ABS, EBD, ESC, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, amaran pejalan kaki pada kelajuan rendah, kamera undur dan sensor undur.

Ruang kabin pula dilengkapi paparan instrumen TFT 3.5-inci, penyaman udara elektronik dan sistem infotainmen lapan inci dengan sambungan Bluetooth, MP3 serta USB.

Jaminan kenderaan diberikan selama lima tahun atau 120,000km, manakala motor pacuan, bateri EV dan BMS dilindungi selama lima tahun atau 200,000km. Sel bateri menerima jaminan enam tahun atau 300,000km.

Khidmat selepas jualan disediakan melalui rangkaian Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS) yang mempunyai 28 pusat servis di seluruh negara.

Tempahan kini dibuka melalui tqwuling.my atau bilik pameran TQ WULING dengan bayaran RM500. Pakej early-bird merangkumi pengecas wallbox 7kW bernilai RM3,500, pengecas mudah alih tiga pin dan penyelenggaraan percuma sehingga 60,000km atau tiga tahun.

Porta EV turut dipamerkan di bilik pameran TQ WULING terpilih pada 17 dan 18 Oktober 2026.

SPESIFIKASI TQ WULING PORTA EV

  • Varian: 300km dan 400km (CLTC)
  • Motor: Elektrik silikon karbida (SiC)
  • Kuasa: 75kW
  • Tork: 180Nm
  • Dimensi: 5,010mm panjang, 1,800mm lebar
  • Tinggi: 1,960mm (300km) / 1,975mm (400km)
  • Jarak roda: 3,050mm
  • Ruang kargo: 2,830 x 1,680 x 1,365mm
  • Kapasiti kargo: 6.5 meter padu
  • Muatan maksimum: 1,105kg (400km)
  • Pengecasan DC (30–80%): 20 minit (400km) / 30 minit (300km)
  • Pengecasan AC (20–80%): 6.75 jam (400km) / 5.15 jam (300km)
  • Paparan instrumen: TFT 3.5-inci
  • Sistem infotainmen: 8-inci
  • Jaminan kenderaan: 5 tahun atau 120,000km
  • Jaminan motor, bateri EV dan BMS: 5 tahun atau 200,000km
  • Jaminan sel bateri: 6 tahun atau 300,000km

Harga:

  • 300km: RM99,800 (Semenanjung) / RM102,800 (Malaysia Timur, anggaran)
  • 400km: RM105,800 (Semenanjung) / RM108,800 (Malaysia Timur)

GALERI:

Google ads
Back to top button