
CHERY PANGGIL SEMULA OMODA 5 VARIAN C DAN H, PEMERIKSAAN PERCUMA
Chery Auto Malaysia akan melaksanakan kempen panggil semula bagi model OMODA 5 varian C dan H yang terjejas susulan insiden gandar belakang tercabut melibatkan sebuah kenderaan itu di Tebrau, Johor Bahru, minggu lalu.
Langkah itu menyusul tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi model dan varian berkaitan, selain menangguhkan pendaftaran baharu sehingga siasatan teknikal selesai.
Dalam satu kenyataan, Chery Auto Malaysia memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan JPJ bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.
Kempen panggil semula itu membabitkan pemeriksaan kenderaan serta penggantian komponen terjejas sekiranya diperlukan.

Pemilik boleh menyemak sama ada kenderaan mereka terlibat menerusi nombor pengenalan kenderaan (VIN) di laman web rasmi Chery Auto Malaysia.
Syarikat itu turut memberi jaminan bahawa pemeriksaan menyeluruh dan segala tindakan pembetulan yang diperlukan akan dilakukan tanpa sebarang kos kepada pelanggan terlibat.
Pemilik OMODA 5 yang ingin mendapatkan kepastian mengenai keadaan kenderaan masing-masing juga digalakkan mengunjungi pusat servis sah Chery untuk mendapatkan bantuan daripada pasukan teknikal syarikat itu.
Bagaimanapun, Chery Auto Malaysia menjelaskan model yang sedang dikeluarkan ketika ini tidak terjejas oleh kempen panggil semula berkenaan.
Terdahulu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata penggantungan VTA dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian yang berpotensi terlibat sebagai langkah pencegahan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Chery Malaysia dikehendaki mengenal pasti semua unit berisiko berdasarkan nombor komponen, kelompok pengeluaran, nombor casis (VIN) dan parameter teknikal berkaitan.
JPJ juga menjalankan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan OMODA 5 serta pembekal komponen gandar, termasuk pemeriksaan sistem kawalan kualiti dan prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan.
Penggantungan itu hanya akan ditarik balik selepas tindakan pembetulan dan pencegahan diselesaikan sepenuhnya serta mendapat pengesahan teknikal daripada JPJ.
Chery Auto Malaysia turut memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dan menegaskan bahawa keselamatan serta kesejahteraan pelanggan kekal sebagai keutamaan.
Untuk pertanyaan mengenai kempen panggil semula, pemilik boleh menghubungi Chery Careline di talian 03-9388 0888.







