Buletin

TRAK PIKAP HYUNDAI SANTA CRUZ MULA DIPRODUKSI DI KILANG ALABAMA

Trak pikap Hyundai Santa Cruz akhirnya memasuki saluran pengeluaran dan bakal berada di pusat pengedaran Hyundai di Amerika Syarikat pada musim panas ini. 

Jentera itu mengambil masa selama enam tahun bermula dari model konsep sehingga diproduksi. Selepas melakukan debut rasmi pada April lalu, ia sudah bersedia untuk dibina di kilang Hyundai Motor Manufacturing Alabama (HMMA). 

Penambahan Santa Cruz menyaksikan Hyundai kini menghasilkan lima model berbeza di kilang Alabama buat pertama kali dalam sejarahnya. Model lain yang turut dipasang di sana ialah sedan Sonata dan Elantra, selain SUV Tucson dan Santa Fe. 

Hyundai dilapor terpaksa menambah baik kilang berkenaan dan berupaya mengubah suai produksi kenderaan berdasarkan kepada permintaan pasaran. 

“Kami gembira kerana mampu menghasilkan trak pikap pertama Hyundai untuk pasaran Amerika Utara. Pelancaran Santa Cruz menjadi bukti kepercayaan Hyundai Motor ke atas kilan HMMA dan Alabama,” kata Presiden dan Ketua Pegawai HMMA, Ernie Kim. 

Santa Cruz akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 2.5 liter aspirasi biasa berkuasa 190hp dan tork 244Nm. Manakala enjin 2.5 liter turbo pula menjana kuasa 275hp dan tork 420Nm. Kedua-dua enjin itu kemudian dipadankan bersama kotak gear lapan kelajuan automatik bersama pacuan empat roda. 

Di pasaran AS, pesaing langsung kepada Santa Cruz cuma Ford Maverick. Hyundai masih belum mengumumkan anggaran harga untuk Santa Cruz.  

GALERI

Google ads
"
"
Back to top button