Buletin

HYUNDAI PONY: ‘PROTON SAGA’ KOREA KEMBALI DENGAN GAYA MODEN

Hyundai merupakan pengeluar kenderaan dari Korea Selatan yang sering disebut peminat automotif tempatan. Perkara yang kerap dijadikan topik perbualan ialah gerak langkahnya dalam bersaing dengan pengeluar automotif dunia.

Kini berusia lebih lima dekad, Hyundai Motor Company bertapak di lebih 200 buah negara dan mempunyai lebih dari 120,000 pekerja.

Menyoroti sejarah, Hyundai Motor Company ditubuhkan pada tahun 1967 (lebih lama daripada PROTON dan Perodua).

Hyundai Motor Company sebenarnya adalah cabang perniagaan baharu oleh Chung Ju-Yung, individu sama yang mengasaskan syarikat Hyundai Engineering and Construction pada tahun 1947.

Chung Se-Yung iaitu adik kepada Chung Ju-Yung dilantik sebagai presiden Hyundai Motor Company.

Pada peringkat awal Hyundai menjalinkan kerjasama dengan Ford bagi memasang model Cortina untuk pasaran Korea.

Kerjasama itu turut melibatkan para jurutera Ford mengajar Hyundai tentang perniagaan automotif, dari perancangan sehinggalah kepada kawalan kualiti.

Selepas beberapa tahun bersama, hubungan tersebut mempunyai beberapa cabaran dan akhirnya berpisah.

Hyundai kemudian meneroka peluang untuk menjadi pengeluar global dan beberapa cadangan bersama pengeluar lain tidak menjadi.

Hyundai mahukan kebebasan dan akhirnya menemui rakan yang mahu bekerjasama.

Siapakah pengeluar itu? Mitsubishi, nama yang begitu dekat dengan PROTON dan negara kita.

Pengeluar dari Jepun itu bersetuju untuk menjalinkan kerjasama teknikal dengan bayaran pelesenan. Chung Se-Yung kemudian bertolak ke Eropah dan bertemu Giorgetto Giugiaro dari Italdesign.

Bercakap tentang Hyundai atau Kia, tidak kurang yang menggagumi bagaimana Peter Schreyer dan Albert Biermann berjaya mengubah pandangan terhadap jenama automotif Korea.

Puluhan tahun dulu atau pada Februari 1974 HMC telah melantik George Turnbull, bekas presiden British Leland sebagai naib presiden.

George Turnbull kemudian melantik enam ketua jurutera dari Eropah.

Akhirnya kesemua usaha dan perancangan ini untuk apa? Ianya untuk PONY, kereta nasional pertama Korea.

Hyundai PONY pertama kali dipertontonkan pada Pameran Kenderaan Turin 1974 dan diperkenalkan ke pasaran pada Disember 1975.

Ianya kereta bersejarah buat Korea sama seperti Proton Saga untuk negara kita.

Lebih empat dekad berlalu, Hyundai memberi penghormatan dengan memperkenalkan Heritage Series PONY, model moden retro yang dibina semula berdasarkan PONY asal.

Model ini dipertontonkan di Hyundai Motorstudio Busan dari 8 April hingga 27 Jun 2021. 

Reka bentuk Heritage Series PONY adalah adunan kepada elemen terdahulu dan sentuhan masa depan.

PONY generasi pertama adalah hasil sentuhan Giorgetto Giugiaro dan menggunakan enjin dari Mitsubishi. Model ini bertahan sehingga dua generasi dan pengeluarannya ditamatkan pada tahun 1990.

Selain itu ianya kereta produksi massa buatan pertama Korea yang dieksport ke luar negara.

Walaupun membawa gayaan asal, Heritage Series PONY yang dipertontonkan di Busan ini tampil canggih dengan pelbagai komponen seperti cermin sisi menggunakan kamera serta lampu depan dan belakang dengan tema Pixel Road Trip seperti model baharu IONIQ 5 dan kereta konsep 45.

Turut dilengkapi ialah transmisi digital dan stereng dengan pengaktifan suara.

Tema moden retro atau elemen retro yang dibawa semula ke model terbaru sudah menjadi amalan pengeluar kereta sekarang. 

Cuma apa yang hebat ialah, Hyundai juga mampu seiring dengan pengeluar lain dan menandakan mereka juga adalah gergasi dunia automotif.

Google ads
Back to top button