Buletin

TUNJUK ISYARAT LUCAH DAN TENDANG RIDER FOODPANDA SEHINGGA JATUH, SUSPEK DIDAKWA HARI INI

Lelaki berusia 61 tahun yang menendang seorang pekerja penghantar makanan wanita di Bandar Puteri, Puchong, Selangor, kelmarin, akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya pada hari ini selepas menerima arahan dari pihak pendakwa raya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kertas siasatan kes membabitkan suspek yang sudah lengkap itu dirujuk kepada pihak pendakwa raya.

“Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan isyarat yang mengaibkan kehormatan.

“Susulan kejadian itu polis menerima dua laporan daripada mangsa berusia 24 tahun dan suspek. Laporan polis yang dibuat suspek masih dalam siasatan,” katanya.

Fadzil berkata, terdapat beberapa berita palsu disebarkan di media sosial termasuk tohmahan mengatakan pihak polis tidak menjalankan siasatan berhubung kes itu.

“Perlu diingatkan perbuatan ini adalah satu kesalahan jenayah yang boleh diambil tindakan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Terdahuu, Harian Metro melaporkan seorang lelaki bertindak agresif dengan menendang penghantar makanan wanita hingga terjatuh. Insiden itu berlaku apabila suspek dikatakan berang kerana mangsa memotong kenderannya ketika dia mahu membuat pusingan U di situ.  

Dalam kejadian jam 4.00 petang yang dirakam video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 57 saat itu memaparkan penghantar makanan wanita terbabit ditendang beberapa kali lelaki itu hingga terjatuh. Dia juga menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa. 

Susulan kejadian itu, sekumpulan penghantar makanan dilihat berkumpul di hadapan premis berkenaan melakukan protes terhadap perbuatan lelaki terbabit.

Selain video itu, turut tular di laman sosial adalah video lelaki yang didakwa menendang wanita berkenaan dipercayai dirakam penghantar makanan lain. – Harian Metro, Berita Harian

Google ads
Back to top button