TERTEKAN AKIBAT MASALAH RUMAH TANGGA. SUAMI CUBA LANGGAR ISTERI SAMPAI MATI
Akibat tertekan, seorang suami tergamak ingin melanggar isterinya di kawasan tempat letak kereta di sebuah pasar raya dekat Tandop, Alor Setar, Kedah.
Dalam kejadian jam 12.04 tengah malam semalam, suspek bertindak nekad untuk melanggar isterinya sehingga mati.
Bagaimanapun, cubaannya gagal apabila mangsa berjaya diselamatkan anak mereka yang ketika itu berada di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin memberitahu, suspek berusia 45 tahun itu dikatakan naik angin apabila bergaduh dengan isterinya yang berusia 52 tahun, di kawasan parkir.
Hasil siasatan mendapati, pergaduhan terjadi berpunca daripada masalah keluarga.
Menurutnya, suspek yang memandu kereta Perodua Myvi dipercayai cuba melanggar mangsa dari arah depan namun tidak berjaya.
“Isterinya diselamatkan oleh anak yang berada di tempat kejadian. Sekiranya tidak diselamatkan pada ketika itu, mungkin kita ada kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk melihat sudut-sudut yang sesuai untuk diambil tindakan terhadap suami,” kata Mohd Rozi.
Suspek ditahan sejurus selepas mangsa membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – Astro Awani