Buletin

MATI KERANA TERLAMPAU PENAT BERJALAN KAKI BERATUS KM UNTUK BALIK KAMPUNG

Dianggarkan seramai 22 orang meninggal dunia akibat terlampau penat berjalan kaki sejauh beratus-ratus kilometer untuk balik ke kampung halaman mereka di India. 

Keadaan yang menyedihkan itu berlaku selepas kerajaan India melaksanakan perintah berkurung yang tegas, sekali gus menggantung operasi semua sistem pengangkutan awam. Lebih memburukkan keadaan, arahan itu dibuat secara tergesa-gesa dan rakyat India yang seramai 1.3 bilion orang hanya diberi masa beberapa jam untuk bersedia. 

Akhbar Times of India melaporkan, salah seorang yang mati ketika berjalan kaki itu ialah Ranveer Singh, 39. Ranveer yang bekerja sebagai penghantar makanan di New Delhi dikatakan telah berjalan kaki sejauh 200km untuk pulang ke kampungnya di Madhya Pradesh yang terletak kira-kira 300km dari ibu negara India itu. 

Ranveer yang berjalan kaki bersama dua orang lagi rakannya mengadu sakit dada apabila tiba di Agra dan rebah di lebuh raya secara tiba-tiba. Seorang pemilik kedai yang melihat kejadian itu cuba membantu dengan memberi biskut dan teh. 

Seorang polis tempatan, Arvind Kumar memberitahu Ranveer sempat menghubungi abang iparnya, tetapi meninggal dunia pada jam 6.30 petang. Bedah siasat menunjukkan dia meninggal dunia kerana serangan jantung yang mungkin disebabkan kerana terlalu penat berjalan. 

Ranveer merupakan salah seorang migran yang terpaksa berjalan kaki beberapa hari lamanya untuk sampai ke kampung berikutan perintah kuarantin. 

Dalam insiden berbeza, empat orang pekerja maut akibat dirempuh sebuah trak selepas mereka diarah berpatah balik oleh polis apabila tiba di bandar Bhillad, sempadan Maharashtra-Gujarat. – Harian Metro 

Tags
Google ads
Back to top button