Buletin

UMWT PERKENALKAN INISIATIF BEYOND ZERO, CAPAI MATLAMAT NEUTRALITI KARBON MENJELANG 2050

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) hari ini memperkenalkan inisiatif Beyond Zero, bertujuan mencapai Neutraliti Karbon menjelang tahun 2050 sejajar dengan matlamat global Toyota.

Acara ini berlangsung hingga 28 Februari di Taman Teknologi Malaysia, menunjukkan komitmen UMWT terhadap amalan mampan dan mesra alam.

Acara tersebut turut menampilkan kenderaan elektrik hibrid, bateri, dan bas SORA yang menggunakan sel bahan api hidrogen untuk memberi kuasa kepada motor elektrik.

Selain itu, UMWT menekankan kepentingan penyelarasan amalannya dengan usaha negara dan global dalam menangani perubahan iklim selain, memupuk pembangunan mampan.

Kehadiran Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, turut menyokong langkah UMWT dalam mencapai matlamat ini.

Beliau mengiktiraf kepentingan Malaysia sebagai pemimpin serantau dalam peralihan tenaga dan menyatakan sokongan terhadap usaha Toyota dalam tenaga bersih.

“Menyedari kepentingan untuk peralihan Malaysia kepada tenaga mampan, kita didorong oleh komitmen global dan potensi untuk kepelbagaian ekonomi dan keterjaminan tenaga.

“Malaysia, yang diiktiraf sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia, berada di atas landasan tepat betul untuk menjadi pemimpin serantau dalam peralihan tenaga,” katanya.

Inisiatif ini menunjukkan komitmen Toyota dalam terus berinovasi untuk mencipta masa depan yang lebih bersih dan mampan, serta meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.

Menurutnya, acara ini membuka peluang kepada pelanggan dan masyarakat untuk memahami inisiatif kemampanan serta teknologi baharu Toyota.

“Kami mengakui wujudnya pelbagai cabaran dan peluang di seluruh negara dalam usaha memperjuangkan pendekatan berbilang laluan (multi-pathway) dan melaksanakan tindakan kitar hayat yang sesuai agar selari dengan setiap kepentingan nasional serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara,” ucap Presiden UMWT, Datuk Ravindran K.

“Menyedari keunikan landskap industri automotif Malaysia, serta kedudukannya sebagai hab pengeluaran elektrik dan elektronik utama di Asia Tenggara, adalah penting untuk kami meletakkan diri kami di kedudukan sewajarnya dalam perjalanan ini.”

Google ads
Back to top button